teguhkan tugu yakinmu!

August 31, 2009 at 7:59 am | In Tazkirah | Leave a Comment

Ramadhan ke 10. Borang mutaba’ah makin berisi walaupun ada juga lompang sana sini. Ada cacat, tidak penuh. Masa yang aku rasa tidak digunakan sebaik-baiknya. Muhasabah lagi. Namun, jelas sekali pemantauan sebegini, walaupun mungkin sesetengah orang berpendapat tidak wajar, pada aku sangat berkesan. Mampu mengghairahkan semangat apabila melihat catatan sendiri ada cacat celanya. Mampu mengembalikan kekuatan apabila tersedar aku banyak membuang masa. Mampu mentarbiyah diri, agar lebih kuat dan gigih mengejar ibadah yang pahalanya diganjarkan beratus-ratus, berlipat ganda oleh Allah s.w.t.

“Setiap amal anak Adam dilipatgandakan kebaikan 10 kali lipat sampai 700 lipat. Allah Ta’ala berfirman: “kecuali PUASA kerana ia untukKu, dan aku akan mengganjarkannya.”

Masih berkesempatan kepada mereka untuk segera menambah amal. Borang mutaba’ah ada disediakan. Print, dan silalah tampal pada dashboard, pintu bilik, loker, study table, diari dan sebagainya. Moga-moga mampu menyusun amal ibadah kita agar lebih sistematik, tambah-tambah di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Bersendiri, banyak menghitung amal. Banyak merenung keburukan dan kejahilan diri. Banyak bermuhasabah. Banyak berfikir. Banyak bermonolog. Soal keyakinan.

i. Keyakinan pada Allah.

ii. Keyakinan pada diri.

Ramai orang yang mengaku, meyakini Allah s.w.t. dengan seyakin-yakinnya. Namun, perilaku dan amal sama sekali menyimpang daripada keyakinan yang disebut-sebutkanya.

1. Yakin bahawa adanya syurga Allah, maka kita akan berusaha melipatgandakan amal, berusaha menghindarkan diri dari dosa, berusaha menghadiri majlis-majlis ilmu, berusaha mengejar cinta Allah..Banyak ayat-ayat Al-Quran yang memperihalkan tentang keindahan syurga Allah. Ya Allah, Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah yang menjadikan syurga seindah-indahnya.

2. Yakin bahawa adanya kematian, maka diri tidak akan putus-putus berdoa untuk bertemu Dia dalam keadaan baik yang diredhaiNya, memohon kesempatan untuk berbuat amal kebajikan, memohon peluang untuk menebus segala dosa besar kecil, sengaja atau tidak disengajakan, bersegera dalam amal dan ibadah. Ingin sekali mati kerana diri begitu meyakini, mati itu sangat-sangat indah apabila Dia meredhai diri, dan kita meredhaiNya. Tiadalah dapat kematian seindah itu, melainkan dengan rahmat dan kasih Allah! Oh, indahnya..bahagianya dicintai Kekasih agung! Subhanallah.

3. Yakin bahawa Allah itu Maha Kuasa. Allah itu Maha Penyayang. Maha Pengasih. Maha segala-galanya. Maka, dengan keyakinan seteguh itu, kita akan mengharungi setiap ujian, bala, dugaan, dengan sepenuh-penuh redha dan tawakal. Jarang mengeluh, dan tetap istiqamah menjalankan perintahNya. Yakin bahawa ujian itu indah, yakin bahawa dugaan itu tanda kasihNya yang sangat mendalam, maka kita akan tetap tersenyum riang menghadapi hari-hari seterusnya. Tersenyum dalam tabah! Indahnya menjadi hamba Allah! Sangat-sangat indah, kerana Dia sungguh Maha Penyayang.. Dengan meyakini bahawa setiap ujian ada hikmahnya, dengan meyakini bahawa setiap ujian ada sebab musababnya, yakin bahawa dia sebaik-baik perancang, maka segalanya jadi mudah! Ah..indahnya!!!

4. Yakin bahawa jodoh di tangan Allah, maka hati tidak gelisah. Hati tidak berprasangka. Malah, kita akan lebih gigih menjaga diri sebaik mungkin. Tidak berusah payah tercari-cari. Tidak bersusah payah chop sana, chop sini. Keyakinan bahawa jodoh dari Allah itu lebih baik, sebaik-baiknya, maka kita akan lebih gigih mengejar cinta Allah. Meyakini bahawa Dia akan memberikan sesuatu yang baik HANYA dengan diri dan peribadi yang baik, maka kita akan berusaha menjadi sebaik-baik mungkin. Percaya pada dia, yakin dengan dia, walau jodoh itu lewat tiba, walau dia entah ke mana-mana, entah siapa, entah ada entah tidak, tiada menjadi masalah. Hakikatnya, segala yang Allah rancang itu, yakinlah, itulah yang terbaik! Hati akan tenang setenang-tenangnya.

5. Yakin Allah Maha Mendengar, yakin Allah akan memakbulkan doa, maka diri akan lebih gigih berdoa sepenuh perasaan, sepenuh hati, merayu dan meminta, dan berserah diri bulat-bulat hanya pada Dia. Tiada lagi gusar, tiada lagi bimbang, tiada lagi ragu-ragu kerana segalanya telah diserahkan kepada Allah, dengan diringi usaha yang berterusan. Yakinlah..yakinlah..yakinlah dengan Dia!

5. Yakin bahawa segalanya yang datang daripada Allah, tiadalah yang buruk melainkan kebaikan semata-mata, selagi diri mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.

Keyakinan ini kadangkala rapuh. Kadangkala teguh. Teguhkan keyakinan aku lagi, Ya Allah.. hingga tiada lagi kegusaran yang bertamu di hati. Yakinlah, yakinlah, yakinlah sahabat-sahabatku! :)

Hebat Tarbiyah Allah!

August 31, 2009 at 7:15 am | In Soal Hati | Leave a Comment

Hebat Tarbiyah Allah!

Hebat sekali kasihNya. Tak dibiarkan terlena oleh kelazatan dunia, tak dibiarkan lemas dalam lautan cinta dunia. Berkali-kali tewas diuji, tetap juga diselamatkan dengan rahmat kasih sayangNya. Muhasabah diri sejenak, mampu membuat air mata ini mengalir tidak henti-henti. Berkali-kali cintaNya dicemari, berkali-kali juga diselamatkan. Bermuhasabah lagi!

Kaki ini kadangkala terasa berat untuk terus melangkah. Prinsip diri kadangkala tercalar. Goyah. Hilang semangat. Bertubi-tubi menyerang, saat aku mula gagah mencari. Saat itu duji lagi, diuji lagi, diuji lagi, dan aku menyedari bahawa diri memang selayaknya diuji kerana aku tetap seorang hamba! Andai selalu benar mengujar cinta pada Dia, maka wajar Dia menguji sejauh mana cintaku padaNya, agar aku terus bermuhasabah, dan berusaha memperoleh cintaNya. Ya Allah.. payah sungguh jalan mujahadah ini. Bukan mudah memujuk diri untuk tegar dan tetap istiqamah.

Adakala langkah tersadai, adakala tersungkur jatuh, rebah.. berdarah! Sekurang-kurangnya, andai kata demikian aku jatuh, sekurang-kurangnya aku merasai “kesakitan”nya, lantas padaMu aku akan terus mengaduh. Namun, andai ujian itu berupa tawa dalam nikmat cintakan dunia, oh Ya Allah, mungkinkah aku akan hentikan tawa dan terus segera beristighfar padaMu? Apakah aku akan segera melupakan nikmat sementara itu, lantas segera berpaling padaMu? Apakah aku akan tetap berpegang pada janji-janjiMu daripada terleka dengan janji-janji manis syaitan yang Engkau laknat? Naudzubillah.

Hebat sekali tarbiyah dari Allah. Sungguh hebat. Namun, apabila diri bermuhabasah, ujian-ujian itu sebenarnya bukti kasihNya yang tidak pernah kunjung padam buat hamba-hambaNya. Diuji untuk kita lebih mengingatiNya. Diuji untuk kita merasai kehadiranNya di sisi. Diuji untuk kita lebih kuat dan sabar, agar kesabaran itu dapat diganjarkan pahala berlipat ganda. Duji untuk kita lebih gigih menggenggam istiqamah. Diuji untuk kita lebih cekal, kerana hanya orang-orang yang cekal, tabah, dan kuat disayangiNya. Hanya mereka yang dijanjikan syurgaNya. Oh, hebatnya tarbiyahMu Rabbi! Kadangkala, aku minta ini, Kau beri itu, tak kusangka rupa-rupanya itulah yang terbaik buatku tanpa kusedar.

Biarlah sejauh mana aku melangkah, aku ingin sekali bertemuMu dalam keadaan Engkau redha kepadaku, dan aku redha padaMu. Buanglah segala cinta dunia yang ada dalam hati ini walau secebis, kuatkan aku untuk terus berpegang pada janji-janjiMu, biar payah benar untuk memujuk nafsu ini. Sebagaimana mereka yang solehah, dan mereka yang soleh merasai kelazatan nikmat mencintaiMu, demikian aku juga ingin merasai hebatnya cintaMu itu! Halakanlah diri ini ke arah kebaikan, elakkanlah aku dari segala kemungkaran. Aku ingin benci apa yang Engkau benci, aku ingin menyukai apa yang Engkau suka. Aku ingin sekali kuat menjaga diri ini, sebaik-baiknya keranaMu. Amanah ini ingin kutunaikan sebaik-baiknya, Wahai Rabbi. Halakanlah aku ke segenap penjuru, palingkan aku dari nikmat sementara, walaupun itulah yang kini didamba-dambakan, halakanlah aku ke arah segala yang mendekatkan aku pada cintaMu, biar onaknya berduri! Ranjaunya pahit. Aku ingin cuba. Aku ingin.

Jadikan Ramadhan ini sebagai pencetus semangat untuk aku terus kuat dan gigih berjuang mencapai cita-cita. Aku ingin sekali bersih, dek kerana dosa-dosa terhapus semuanya! Aku ingin sekali “dilahirkan” semula dalam keadaan suci bersih tanpa dosa. Ya Allah, bantulah diri ini..

wahai ar-rijal budiman..

August 30, 2009 at 9:07 am | In Soal Hati | Leave a Comment

Assalamu’alaikum wr.t.

Wahai Ar-Rijal Budiman,  

Mujahid-Mujahid Pejuang Agama Allah yang terserlah kegagahannya,

Pemimpin-Pemimpin dunia yang kukagumi,

Romeo-Romeo idaman Juliet-Juliet,

Qaisy-Qaisy yang dicintai Laila-Laila,

Kumbang-Kumbang pencinta Bunga-Bunga,

“Andai benar anda semua mencintai kaumku, sahabat-sahabatku, maka cintailah dengan makna cinta yang sebenar-benarnya. “JAGAlah” mereka dengan sebaik mungkin. Selagi mereka belum halal untuk anda, maka pimpinlah hati-hati mereka untuk sentiasa mengingati Dia yang telah menciptakan rasa kasih antara anda dan sahabat-sahabatku. Janganlah digunakan jalan agama, sebagai jalan untuk anda mendekati mereka, tetapi sentiasalah berdoa agar mereka sentiasa berada dalam jagaanNya. Letaklah mereka dalam jagaan Allah, merayu dan memohonlah pada Dia agar mereka sentiasa tetap dalam iman dan taqwa sebagaimana yang anda cuba bentuk dan harapkan.  Sekalipun kering tekak, mulut berbicara, sekalipun berpuluh mesej-mesej nasihat dihantar, selagi jalan itu bukan jalan yang syarak, maka susahlah untuk mereka mengenal cinta Dia dengan setulus-tulusnya. Andai kata benar-benar cinta, jagalah mereka sebaiknya, letakkan pengharapan sepenuhnya pada Allah, berDOAlah cara terbaik agar mereka sentiasa menjadi seindah-indah mawar berduri yang anda harapkan! Percayalah, bahawa tarbiyah dari Allah itu lebih luar biasa, berbanding nasihat-nasihat dan tarbiyah yang anda cuba untuk tonjolkan. Doa itu lebih kuat ikatannya, berbanding ikatan yang cuba anda simpulkan! Percayalah, anda mampu menangis dan merasai ikatan itu andai datangnya dari hati yang benar-benar tulus dan suci! Ikatan yang Allah susun dan atur itu lebih indah! Sungguh!

Aku mencintai sahabat-sahabatku sepenuh hati, maka aku tidak rela melihat mereka mengenal cinta buta yang bukan bersandarkan ibadah, tetapi dosa. Akulah yang paling bahagia, andai mereka jatuh cinta. Akulah yang paling gembira andai mereka gembira bercinta! Sungguh! Akulah yang paling seronok mendengar celoteh cinta bahagia mereka! Tetapi, biarlah cinta mereka untuk lelaki yang benar-benar ingin membawa mereka ke syurga, biarlah dari seorang lelaki yang bukan sekadar berjanji setia, tetapi berusaha  menjaga mereka daripada dosa-dosa. Biarlah daripada seorang lelaki yang benar-benar berkeupayaan untuk memimpin mereka ke jalan yang sepatutnya. Lelaki yang benar-benar penyabar dan bersungguh-sungguh dalam doa, lelaki yang sanggup menanggung perasaan sendiri demi menjaga hatinya dan hati orang yang disayangi, lelaki yang hanya mengharapkan bantuan Allah untuk mengikat hati mereka pada hati anda!

Namun, kudratku kadang-kadang tidak sekuat mana. Kadang-kadang lemah tidak berdaya. Tidak mampu lagi berbicara, tidak mampu lagi berkata-kata. Antara sahabat dan seorang lelaki yang dicintai, pastinya dipilih anda yang dicintai sepenuh hati! Maka, jagalah mereka sebaik-baiknya, bukan membawa mereka ke jalan yang tidak sepatutnya. Jagalah mereka dengan jagaan yang sebenar-benarnya. Tolonglah ya! Andalah pemimpin berjasa!”

Salam Ramadhan Kareem. Terima kasih.

Wallahhua’lam.

Protected: aku “tinggalkan” kamu dalam jagaan Allah..

August 30, 2009 at 8:16 am | In Privasi | Enter your password to view comments

This post is password protected. To view it please enter your password below:


indahnya menjadi MUSLIMAH!

August 28, 2009 at 6:39 pm | In Tazkirah | Leave a Comment

Peringatan saat aku lupa. Lupa pada cita-cita. Lupa pada tanggungjawab. Lupa pada nafsu yang sentiasa mengajak, lupa pada iman yang menderita terseksa. Nasihatmu menyedarkan diri, memberikan inspirasi baru. Sebagaimana aku telah “disedarkan”, titipan ini kupanjangkan, moga bakal juga “menyedarkan” yang lain, agar kita sama-sama “tersedar”, dan “terjaga” dari lena. Ya Allah, moga kita sama-sama terus terpelihara dalam jagaanNya. Amin.

“Seronoknya menjadi muslimah. Di saat anak gadis lain sibuk meneliti REMAJA, produk terbaru Maybelin, album terbaru student AF, seorang muslimah sibuk membaca Al-Islam, berusaha memujuk diri daripada membazir dan hatinya asyik beristighfar tatkala membuka tv dan terpandang iklan-iklan yang mengotorkan hatinya.

Masa gadis-gadis lain dimain-mainkan dgn sms kawan-kawan lelaki, tengok love movie.

Masa seorang muslimah dimain-mainkan dengan terlajak masa yang dijadualkan ketika menulis karya-karya dakwah, asyik menonton Sang Murabbi berulang-ulang. Seorang muslimah itu berkeadaan sedar, masa yang telah disalahguna.

Seronoknya menjadi pelajar muslimah. Assignment dan study diusahakan sehabis baik. Kala futur dan resah dipanjatkan pada Ilahi. Dia akan meratap tak henti-henti pada Kekasihnya dan air mata itu penghibur duka. Seronoknya menjdi pelajar muslimah, ijazah itu dihadiahkan buat agama. Ilmu itu ditimba tak mengira.

Seronoknya menjadi mujahidah itu, sentiasa sedar Allah bersama. Sentiasa rasa kurangnya diri, dan berkeazaman yang tinggi untuk sentiasa memperbaiki diri. Seronoknya menjadi mujahidah itu, sahabat karib mahupun kawan biasa diraii, Sentiasa berusaha menjadi sosok daie sejati.

Seronoknya menjadi anak gadis yang solehah itu berusaha meringankan beban orang tua tanpa diminta. Kurang meminta-minta, ingin selalu memberi. Seronoknya menjadi anak gadis yang solehah itu kerana selalu diiring redha, tabah tak kira apa.

Seronoknya menjadi muslimah itu, sentiasa menanti cinta dalam diam. Disimpan rapi jauh-jauh dilubuk hati. Dialah pencinta yang setia. Dia memilih calon suami lewat dalam doa dan ukurannya bukan model-model di majalah. Idolanya bonda As-Syafie. Gigih mempersiapkan diri sejak zaman gadisnya demi memastikan zuriat yang bakal dilahirkan menjadi mujahid membela agama. Seorang muslimah itu multi-talent. Baik di dalam mahupun di luar rumah tangkas bergerak. Penuh stamina. Demi memastikan diri tetap fit di saat-saat genting apabila tiba waktu kehamilan mahupun ketika menyusukan anak.

Mujahidah itu sentiasa rindukan kerehatan di syurga….”

sahabat

Ramadhan Kareem

:`(

hadirmu tidak dikenali.hilangmu tidak dicari.

August 24, 2009 at 4:16 am | In Soal Hati | Leave a Comment

 

Dia kembali tenang dengan kiriman doa. Tawakal dihamparkan seluasnya, biar Dia sahaja menentukan segalanya. Berpaksi pada takdirNya, demikian itulah cara terbaik. Mohon dikuatkan hati, dilapangkan fikiran, biar tenang selalu. Bukan mudah. Sungguh sangat susah jalan mujahadah ini. Berperang dengan hawa nafsu sendiri, berlawan dengan kelemahan iman yang kadangkala nyata terang. Semangat mudah luntur, matlamat kadangkala tersasar jauh. Yang dicari, kadangkala kabur atau senyap sunyi. Yang bukan dicari, berceracak tumbuh di hadapan mata. Hampir sahaja hilang tujuan, andai tiada perlindungan dariNya. (Ya Allah..)

Andai syurga yang dicari, carilah “tangga” ke arah syurga. Bukalah mata, wahai hati..

Kepastian
Album : AllahhuRabbi
Munsyid: In-Team
Ujian Tuhan kepada semua insan
Adalah kehidupan ini
Yang baik menjadi tuntutan
Yang buruk dijauhkan

Syurga yang dijanjikan
Bukanlah suatu khayalan
Tentang nikmat berpanjangan Ilahi

Neraka yang tercipta
Menghimpun azab derita
Tangisan kesengsaraan insan

Syurga adalah kelazatan
Terbentang buat hamba beriman
Yang kasihkan Tuhannya
Yang kasihkan Rasulnya
Yang kasih agamanya

Neraka tempat kemurkaan
Antara kedurjanaan insan
Yang lupakan Tuhannya
Yang lupakan Rasulnya
Yang lupa agamanya

Siapakah yang lebih mulia
Dari mereka yang tidak lupa
Janji Allah adalah kepastian
Dan nikmat syurga adalah indah

Usah keluh kesah, Dia ada. Biar hadirmu, tidak dikenali. Hilangmu, tidak dicari.

-oh, hati…hati…kambalilah pada Allah, pemilikmu!

3 Ramadhan.

azam lama dan baru

August 21, 2009 at 9:02 pm | In Tazkirah | 3 Comments

Matahari menyerakkan cahayanya. Simbahan cahaya terkena pada wajah. Cahaya pagi dhuha yang sangat tenang. Tidak hairanlah kita memang digalakkan untuk mentadabbur ayat-ayat Al-Quran saat-saat ini. Ternyata, sangat berhasil apabila dihayati dengan sebetul-sebetulnya. Hati yang tidak menangis pun boleh menangis. Jiwa yang keras pun boleh jadi lembut. Dari sudut bilik, awan putih kebiruan yang cerah kelihatan. Bukit kelihatan berbalam-balam, berlapis-lapis dan di lapisan paling hujung, tumbuhan-tumbuhan hijau itu kelihatan pudar sekali warnanya. Macam ada kabus-kabus putih. Subhanallah, nikmat Tuhan yang mana satukah kamu dustakan? Sungguh dan sangat-sangat tenang! Saya sungguh suka.

Hari berganti hari. Beberapa hari telah berlalu, lagi 6 hari Ramadhan bakal tiba. Entah apa persediaan agaknya ya? Senang sekali membaca coretan puteri baru-baru ini. Dia menyuntik semangat baru. Kita berkongsi kekuatan, moga-moga Ramadhan kali ini, Ramadhan terbaik yang pernah dilalui berbanding yang sebelum-sebelum ini. Berkali-kali berazam, adakala kerana tiada kesungguhan yang kuat, tidak punya kemantapan dan kekuatan, boleh jadi istiqamah itu sekerat jalan. Ya Allah, tolonglah! Betul-betul mahu kali ini menjadi.

Sekurang-kurangnya, perbaiki dan perbaharui azam yang lama. Tambahkan sedikit azam yang baru. Sekurang-kurangnya, dengan niat dan azam yang baik ini, walaupun belum tentu hasilnya, moga-moga ada ganjaran pahala di sisiNya, insyaALLAH. Amin.

  • 1. Tilawah Al-Quran ( 1 juzuk sehari)- terpulanglah pada yang nak tambahkan lagi. lagi banyak, lagi bagus.
  • 2. Qiyam tiap-tiap hari.
  • 3. Sedekah/Infaq : RM 0.50/RM 1.00 sehari.
  • 4. Solat Sunat Terawih tiap-tiap hari penuh!
  • 5. Kurangkan tidur.
  • 6. Banyakkan senyum walaupun letih.
  • 7. Sedaya upaya menjaga hati, mata dan yang sewaktu dengannya.
  • 8. Menjaga perkara-perkara rukun, sunat dan makruh puasa dengan baik. [seelok-eloknya dah bersedia dari sekarang]. :D
  • 9. dan lain-lain lagi..
  • ……

Moga-moga madrasah Ramadhan mampu dan dapat mentarbiyah diri untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Ya Allah, kuatkanlah kami semua. Amin. Bak kata Ustaz Emran, sama-sama menggemukkan pahala, bukan menggemukkan badan. :)

Ada hadiah untuk semua. Kita sama-sama update,topup AMAL IBADAH dengan borang pemantauan ini. Nak download? Klik sini.

Salam Juang. Wallahhua’lam.

p/s: coretan beberapa hari lalu. baru boleh post. huhu. laptop bermasalah! :D

cerpen: Mahessey dalam Sejarah

August 15, 2009 at 8:56 am | In Soal Hati | 5 Comments

 salam’alayk.

tugasan mingguan subjek Bahasa Melayu. esei bergambar. cerita ini entah apa-apa. mengarut saja. :)

03 Disember 2009

Negara itu bangkit, termaktub dalam sejarah. Membangun sebagai pusat pendidikan terkemuka di dunia ini. Negara Mahessey atau nama asalnya Padang Riuh letaknya di hujung dunia. Negaranya kecil, hinggakan tidak ternampak kedudukannya di dalam peta. Keagungannya terserlah bukan kerana membangunnya daerah, bukan kerana tingginya pencakar langit dan bukan kerana majunya teknologi. Namun, kerana tingginya budi dan mahalnya bahasa penduduk-penduduk di situ. Kesopanan dan kesusilaan mereka disegani, hinggakan disebut-sebut serata dunia. Keramahan dan ketinggian budi penduduknya dijaja ke sana ke mari. Orang sibuk-sibuk bercerita tentang kemegahannya, namun terlupa hakikat asal usulnya. Asal usulnya kata orang masih samar-samar. Hanya pewaris pimpinannya sahajalah yang mengetahui hakikat sebenar sejarah negara ini sebetul-betulnya. Namun, menurut kata penduduk negara itu, pewaris tersebut dibawa lari ke negara penjajah, sewaktu kota itu cuba diusik ketenangannya. Sejauh mana kebenaran itu, marilah kita sama-sama teliti sejarahnya.

03 Disember 1910

Padang Riuh heboh. Memang kena benar dengan nama kampungnya, Padang Riuh. Terkenal dengan sikap penduduknya yang suka mengadu domba, suka bercerita perihal orang, bercakap besar, dan gemar bercakap dengan nada yang tinggi. Mereka seolah-olah talam dua muka, apabila berdepan dengan manusia, bagaikan menanam tebu di tepi bibir, manis sahaja bahasanya. Belakang manusia, mengumpat tidak henti-henti, lelaki perempuan semuanya sama sahaja. Mak Bedah, Pak Karim dan Mak Joyah sahaja yang lain sedikit sikapnya, kerana mereka hidup nomad, bukan penduduk tetap di situ.

Padang Riuh dikepalai seorang ketua kampung yang bengis, namanya Pak Mail. Pak Mail, matanya buta sebelah. Pelbagai akar kayu dan ubat-ubat tradisional dimakannya,namun tidak juga sembuh-sembuh. Banyak wangnya habis dibelanjakan semata-mata untuk mengubati matanya, tetapi tidak juga berhasil. Malang sekali nasibnya.

Padang Riuh heboh. Mak Bedah selamat melahirkan anak lelaki. “Mak Bedah Gila sudah bersalin!” “Anak lelaki!” Berita tersebut heboh seluruh pelosok kampung. Takdir Tuhan yang lebih Maha Mengetahui menginginkan juga anak ini melihat dunia. Walaupun Mak Bedah dikatakan gila, dengan izin Tuhan, selamat juga dia melahirkan anaknya. Berbalik kepada kisah hidup Mak Bedah, gilanya bersebab. Akal warasnya serta merta hilang lantaran kematian suami yang sangat disayangi, Pak Karim. Sewaktu itu, mereka tengah sama-sama seronok membilang hari menantikan kelahiran cahaya mata sulung. Tujuh tahun menanti, akhirnya doa Pak Karim dan Mak Bedah dimakbulkan Tuhan. Namun, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Malang sekali nasib yang menimpa kedua pasangan bahagia ini. Penantian gembira bertukar menjadi tragedis apabila Mak Bedah dikhabarkan mengenai kematian suaminya. Dia hilang waras. Nafsu mengalahkan iman. Berkali-kali dia mencuba untuk membunuh diri, namun berkali-kali jugalah Tuhan menyelamatkannya. Perutnya besar memboyot, berisi janin berusia tujuh bulan. Namun, hakikat sebenar, badannya makin susut hari demi hari. Hanya jiran sebelahnya, Mak Joyah sahaja yang prihatin. Sekali sekala dijenguknya dan diberinya makan. Pagi petang, kerjanya merayau sahaja ke sana ke mari. Kononnya niat di hati ingin mencari suami yang tidak pulang-pulang. Bukan setakat merayau,malah dia juga akan mengorek tong sampah, mencari botol-botol kaca, dikumpulnya lalu dibawanya pulang. Mungkin kerana ingin mengubat rindu yang tidak tertahan-tahan, pada Pak Karim yang bekerja sebagai pengutip botol-botol kaca. Fe’el ini berlaku selama sebulan lamanya. Selama itulah, penduduk kampung mula lali dengan tabiat mengutip botol Mak Bedah. Sedikit benar yang kasihan dengan nasib yang menimpa Mak Bedah. Kalau yang perempuan duduk bersembang di beranda mahupun di anak tangga, sambil asyik mencari kutu, Mak Bedahlah topiknya. Kalau yang lelaki menyinggah di warung kopi sambil bercerita, Mak Bedah jugalah topiknya. Kali ini, penduduk kampung gempar dan sibuk bercerita tentang kelahiran anak lelaki misteri. Bayi misteri itu adalah anak Mak Bedah.

Namun, kelahirannya penuh misteri. Lama benar Mak Bedah bertarung nyawa. Botol kaca setia ditangannya. Mak Joyah seriau. Bimbang kedua-duanya tidak dapat diselamatkan. Penantian selama 12 jam itu akhirnya membuahkan hasil. Bayi itu selamat dikeluarkan walaupun lahirnya songsang. Mak Bedah pengsan selama beberapa jam, namun keadannya selamat. Namun, tiada kedengaran tangisan. Mak Joyah menampar-nampar pipi bayi tadi, tiada tangisan. Malahan, bayi ini tersengih-sengih. Hairan dan pelik.

 

03 Disember 1916

Padang Riuh heboh lagi. Kononnya sejak kelahiran bayi tersebut, bala menimpa kampung mereka tidak henti-henti. Hujan lebat dan banjir, kemarau bermusim, tanaman tidak menjadi dan sebagainya. Mereka menuduhnya anak pembawa sial. “Sudahlah gagap, pembawa sial lagi!” “Anak yang langsung tidak bawa untung!” Bermacam-macam jenis keluhan bermain di bibir penduduk kampung. Mak Bedah masih lagi dengan tabiat lamanya, mengutip botol sekeliling kampung. Tidak dipedulikan langsung anaknya yang satu itu, malah nama anaknya sendiri perlu diingatkan beberapa kali. Malang sekali nasib Sobir. Mak Joyah menamakannya Sobir, moga-moga kelak dia menjadi seorang anak yang penyabar.

Sobir merantau mencari emaknya. Hari sudah menginjak senja. Warung Mat Gelebeh masih penuh. Tradisi turun temurun, memang warung ini sentiasa penuh dengan pelanggan. Entah apa rahsianya, tidaklah dapat dipastikan. Mungkin kerana uniform unik pelayannya yang hanya memakai kain sarung dan singlet Pagoda, menjadi tarikan semasa di samping harga makanan di situ agak murah. Sobir pusing ke kanan dan geleng ke kiri. Sobir tersengih-sengih seperti kerang busuk. Suka benar dia melihat perut Mat Gelebeh yang menggelebeh menutupi pusatnya. Dia tergelak kuat apabila melihat Mat Gelebeh berjalan terhinjut-hinjut. Mat Gelebeh berasa tidak puas hati. Berkali-kali dihalaunya Sobir, kerana bimbang bisnesnya akan terencat. Namun budak tersebut enggan pergi. Dia masih juga terkekek-kekek mengetawakan Mat Gelebeh.

“Eh, aaa..aaaa..da…boo..bo..tol la! Maaa..maak mes..mes..ti..su…su..ka!” Sobir tersengih lagi menampakkan sebaris gigi kuningnya. Sobir riang sekali sambil terloncat-loncat. Botol tersebut dipegangnya kuat-kuat, lalu dibuka penutupnya. Takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, maka berlakulah kejadian yang tidak disangka-sangka. Tiba-tiba Pak Mail menjerit kesakitan kerana penutup botol yang terpelanting, mengenai matanya. Jari telunjuknya puas menenyeh matanya berkali-kali. Mulutnya pula tidak henti-henti menyumpah Si Sobir yang malang itu.

Seminit kemudian, Pak Mail ketawa terbahak-bahak. Girang sekali. Pelanggan-pelanggan lain tercengang-cengang kehairanan. “Aku nampak! Aku dah nampak! Kau hebat Sobir! Kau hebat!” Melihat keadaan Pak Mail yang bagai separuh gila itu, Sobir tensengih-sengih lagi. Dia turut sama terloncat-loncat.

03 Disember 1950

 Sobir meningkat dewasa. Pertuturannya masih juga gagap, namun dia bijak. Mak Bedah telah lama meninggal dunia akibat dilanggar kereta sewaktu sedang asyik mengutip botol di tepi jalan raya. Mak Joyah meninggal kerana sakit tenat. Sobir memang seorang yang penyabar. Ayah angkatnya, Pak Mail juga telah meninggal dunia. Sobir menjadi penggantinya, dan kini dialah ketua kampung yang berkuasa. Segala undang-undang ditukarnya kepada perubahan yang lebih baik. Perintahnya diikuti dan dihormati, kerana dia seorang yang sangat berhemah. Penduduk yang berhemah, bersopan santun serta menjaga budi bahasa dianugerahkan hadiah setiap minggu. Tabiat yang dibentuk ini lama kelamaan mengubah suasana. Sudah punya akhlak dan sudah bertamadun kota ini! Sobir meninggal dunia beberapa tahun kemudiannya, namun jasanya tetap dikenang-kenang dan disebut-sebut. Lahirnya dalam keadaan tersengih, matinya juga dalam keadaan tersengih.

 

03 Disember 2009

Sebelum meninggal, atuk berpesan supaya aku tetap menjaga budi bahasa, dan ingat asal usul walau dilempar ke mana jua. Aku mengagumi atuk dalam diam. Tulisan ini buat atuk, kerana jasanya tidak berbelah bagi. Peribadinya tinggi, disegani dan sangat dihormati. Biarpun aku di Kota London, menumpang di bumi asing, namun aku masih serupa! Walaupun negara Mahessey pernah dijajah suatu ketika dahulu,namun begitu diriku belum pernah dan tidak akan pernah dijajah! Ketahuilah, akulah pewaris yang dibawa penjajah ke negara mereka. Akulah periwayat kisah Padang Riuh atau namanya kini negara Mahassey. Aku hartawan terkemuka, namun bekerja juga sebagai pengutip botol. Terima kasih Atuk Sobir, jasamu dikenang selamanya.

p/s untuk j : hehe. j copy, umy pun copy dalam nie. :D tapi, cerita j sangat best dan unik. tak hairanla kalau cikgu suka.hehe. dapat gambar sama dengan umy ye? umy pun suka kelas BM! :)

hadiah dari Allah

August 15, 2009 at 8:18 am | In Soal Hati | Leave a Comment

Ma’thurat selesai dibaca. Dia masih lagi kaku, termenung jauh. Cepat-cepat diselaknya langsir yang menutupi pemandangan alam. Tingkap dikuaknya perlahan. Ada bunyi yang terhasil, mungkin sudah terlalu lama ia berkhidmat. Mahallah Sumaiyyah antara mahallah yang paling lama di sini; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Cuma, baru-baru ini kata orang ia nampak baru lantaran baru diubahsuai. Dinding dilapisi warna cat yang baru. Ungu gelap yang klasik menyerlahkan keunikan Sumaiyyah di hati.

Kabus tebal dari puncak bukit kelihatan seperti kapas putih. Dua kali pandang, seperti salji yang menyeliputi Gunung Everest. Hari makin cerah, malam berangkat pergi, siang menanti. Pertukaran seni Ilahi yang sungguh Maha Hebat. Burung-burung menyanyi alunan zikrullah, unggas tidak ingin juga ketinggalan berzikir memuji Ilahi. Dia membung sejauh-jauh pandangan. Sekali sekala ada helaan nafas turun naik. Bukan mencuba untuk menyedut oksigen segar nikmat kurniaan Ilahi, tetapi sengaja membuang segala kekusutan yang melanda. Dia percaya bahawa memandang alam ciptaan Ilahi, mampu memberikan ketenangan luar biasa. Kita merasai kewujudan Allah, kita seolah dipujuk dengan zikrullah alam semesta. Andai pokok-pokok punya hati, hati ‘mereka’ bersih. Bukankah hati yang bersih akan memantulkan cahaya ketenangan pada wajahnya? Jadi, kena benarlah dengan apa yang dia percaya. “Hati” pokok yang bersih kerana alunan zikrullah, menyebabkan ketenangan itu hadir apabila kita selalu memandang “wajah”nya.

Kekusutan kerana konflik diri yang tidak sudah-sudah. Berserabut. Ketenangan itu hadir sebagai sumber ilham. Tentunya Dialah pemberi segalanya. Berkali-kali mesej-mesej itu sampai, dibaca dan dibalas. Berterusan-terusan, hingga kadangkala hati jadi serba tidak kena! Muak kerana dosa. Telaga mata ini tidak juga kering-kering. Ada sedu-sedan yang ternyata menandakan ujian kali ini lebih hebat daripada kebiasaannya. Ada rayuan, ada rintihan, ada permintaan, dan permohonan agar dia sentiasa dipimpin hidayah Allah. Selama-lamanya!

“ujian tanda Allah sayang. ujian tanda Allah kasih. ujian tanda Allah ingin selalu bersama hambaNya. ujian menguji erti cinta dan kasih pada Allah. ujian medan pembuktian iman kepada Allah. ujian menyerlahlah redha, menyerahkan diri, membulatkan tekad dan tawakal. ujian itu penghubung ikatan antara hamba dan Penciptanya. ujian itu melepaskan tangisan rindu, mempererat kesetiaan, memperbanyak ingatan pada yang berhak. ujian bukan yang sakit, perit dan pahit saja, boleh jadi apa yang kita paling suka, apa yang nafsu paling suka, itu juga ujian. bala, sakit, maksiat juga ujian! ujian itu tarbiyah yang paling manis. kamu diuji wahai diri. kamu diuji. percayalah wahai diri, dunia ini penjara bagi orang mukmin. penjarakanlah dirimu sekejap-kejapnya, serapat-rapatnya. kekisi besi itu penghalang dosa dan kemungkaran. biarlah dibenci, daripada meneruskan kerja-kerja mungkar! Allah Maha Tahu, apa yang engkau tuturkan wahai hati. percayalah..percayalah pada diri!”

Perlahan-lahan, air mata diseka lagi. Engkau Maha Tahu. Engkau Paling Maha Memahami.

“Padamu ada al-asrar yang menjadi idaman mujahid. Tersingkap al-asrar padamu dimukadimahkan secebis makrifat. Jagalah humaira’ pada wajahmu, jagalah nur syuhudiah di kalbumu, jagalah akhlak nubuwwah pada perilakumu. Moga kita sama-sama menjadi maratus solehah. Ameeen. Salam sayang buatmu bunga agama, moga sentiasa mekar di taman syurgaNya.Ameeen.” [13 Ogos 2009/ 15:11]

Terima kasih kepada pemberi mesej ini. Yakin sekali, kamu adalah hadiah dari Allah. Hidayah ini ternyata sangat bermakna. Terima kasih. Barokallahufik.

lampu merah kata STOP!

August 10, 2009 at 4:51 pm | In Soal Hati | Leave a Comment

“Hiduplah dengan aman. Bersihkanlah hatimu, bersihkanlah jiwamu. Fikirkan matlamat,fikirkan hala tuju, fikirkan apa yang engkau paling mahu. Pastinya lain-lain yang datang akan tertepis. Nikmatnya, mujahadah ini. Biarpun payah, Allah Maha Mengetahui. Tolonglah, Ya Allah. HidayahMu kuharap selalu. Jangan tinggalkan aku walau sesaat.”

::4.49 p.m/10 Ogos 2009::

Next Page »

Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.