bila radar berbunyi, bila kompas berdetik..
October 18, 2009 at 11:27 am | In Motivasi | 2 Comments

*coretan buat diri penulis yang mudah lupa. coretan buat diri yang perlu pembangun jiwa. coretan buat diri yang perlu bangkit segera.
Hati makin lama makin terusik. Keremajaan yang kian meningkat menuju alam dewasa. Dunia seakan makin mencabar untuk diteroka. Banyak benda baru yang kadang-kadang tidak terjangkau dek akal dan pemikiran. Serba canggih semuanya! Itu yang jelas terang. Namun, ada yang lebih halus persis angin yang datang seketika menampar lembut si pipi. Sejenak, kita teralit seketika. Seronok. Puas dan bahagia. Namun, percayakah “UDARA” yang kita hirup dari “ANGIN” tadi sebenarnya membuatkan kita makin “SESAK” bernafas? Makin dihirup udaranya, makin kita ingin, dan ingin, dan ingin dan kita tidak akan pernah puas! Nafasku sesak. Hidupku tidak tenang. Masih ada yang kurang. Hakikatnya, aku masih tetap juga mencari walaupun aku kira, bahagianya telah kutemui.
Saat ditanya, dari mana kekuatan melawan arus angin itu datang, aku jadi kelu. Entahlah mahu diberikan jawapan yang mana satu. Sendiri tergaru-garu dan masih jua sangsi. Diri ini tetap juga manusia yang kadangkala terkena tempiasan angin lembut itu. Diri sejenak terleka, ralit, dan seronok! Suka dipuja dan memuja. Maka jalan mujahadah itu terus bermula. Perjalanan hijrah seorang hamba kembali menuju TuhanNya.
- 1. Keteguhan Prinsip
Pertama-tamanya, binalah prinsip dan cubalah untuk tegas dengan prinsip yang telah dibina. Binalah benteng pada diri seboleh daya. Yang mana tidak selari dengan hukum Tuhan, elakkanlah. Selagi mana bertentangan dengan prinsip yang telah dipegang, maka jauhkanlah. Namun, kekuatan dalam membina dan berpegang pada prinsip itu ada pada hati yang terus-menerus menyebut dan merayu nama Tuhannya. Kekuatan itu ada pada jasad yang ingin berusaha bergerak ke arah Tuhannya. Kekuatan itu ada pada hati yang sentiasa ingin menyuburkan cinta al-Haq pada dinding-dindingnya. Kekuatan itu ada pada akal yang ingin sentiasa memikirkan kebesaran dan keesaan Tuhannya. Kekuatan itu ada pada diri yang sentiasa ingin dikasihi, dicintai, diredhai dan bertemu pemiliknya dalam keadaan baik dan sejahtera.
- 2. Ajar Hati, Didik Nafsu
Namun, bagaimana membina hati yang subur dengan istighfar dan zikir? Bagaimana untuk mengajar hati untuk sentiasa mengingatiNya? Bukan mudah mendidik hati. Payah benar menjaga hati yang sekeping. Sangat-sangat sukar. Sekali lagi, inilah namanya jalan mujahadah; berperang dengan hawa nafsu.
Apapun yang kita buat, ajar hati untuk melakukan segalanya kerana Dia. Mulakan dengan membaca semudah-mudah doa yang kita hafal seusia kanak-kanak dulu. Doa keluar rumah, sebelum makan, selepas makan, sebelum tidur, selepas bangun dari tidur, keluar tandas, masuk tandas, belajar, menyarung pakaian, dan sebagainya. Ajar hati dan mulut untuk memulakan dengan bacaan BISMILLAH, dengan setiap tindakan yang kita lakukan, termasuklah menyarung stokin. Semua ini tampak simple, namun kesannya jelas ketara. Secara automatik, tiap-tiap pergerakan kita ada connection denganNya. Mula-mula mencuba, adakalanya terlupa. Namun, lama-lama diri akan terbiasa. Hati akan bergerak dan berzikir dengan sendirinya. Entahlah, ia terlalu subjektif untuk diluahkan di sini. Namun, percayalah “ikatan antara hamba dan Tuhannya” yang dibina dari semudah-mudah doa itu sungguh luar biasa! Ajaib.
Biasakan hati dengan istighfar dan zikir. Paksa diri. Ke kelas, ke mana-mana sahaja. Bukan mudah, namun tentunya ia bukan mustahil. Terlupa itu biasa. Namun, sebaik sahaja teringat yang kita sedang berdiam diri; tidak berbuat apa-apa, maka perlu lakukan sesuatu daripada membazir masa begitu sahaja. Lakukanlah selagi mampu dan seboleh daya. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mengajar hati mengingatiNya. Sama juga dengan ketidakupayaan kita untuk menangis kerana mengenang dosa-dosa, maka mulakanlah dengan belajar untuk menangis kerana ketidakmampuan kita untuk menangis kerana dosa. Entahlah, ia ternyata terlalu sukar untuk mendidik hati! Sangat-sangat susah. Namun, tumbuhkanlah pada hati itu keyakinan yang tinggi, bahawa Allah itu Maha Mengetahui kedudukan dan status hati hamba-hambaNya; yang begitu sekali ingin membuang segala keinginan nafsu, dan mencintaiNya sepenuh hati. Dengan keyakinan itu, maka kita akan berusaha untuk memperbaiki status hati walaupun beribu-ribu, dan berjuta-juta kali mendustai cinta hakiki. Makin susah jalan yang terpaksa dilalui, makin banyak ganjaran pahala yang menanti. Makin susah dalam berusaha, makin besarlah bonus di sana. Biarlah bernanah, berdarah, terjatuh, tersungkur, terluka sana sini, itulah hakikatnya kehidupan seorang manusia. Kita sedang berada di atas satah normal yang status hidup ini adakalanya merudum, adakalanya meningkat.
Bukalah hati ke majlis-majlis ilmu. Hatimu perlu makanan. Makanan jiwa. Taujih atau tazkiyah. Dua kali dalam seminggu memadailah andai waktu tidak mengizinkan. Kaki akan penat melangkah, namun roh segarnya usah dikata. Bertambah-tambah. Jasad ujarnya lelah, namun hati katanya semangat. Ada kekuatan luar biasa yang akan meresap dan menyelinap ke dinding-dinding hati. Ada ketenangan yang akan tiba-tiba seakan mendap di dasar hati itu. Hati itu seolah segar bugar bagai bunga-bunga layu yang kembali segar setelah disiram. Subhanallah! Unik. Ajaib. Tanpa sedar, kita telah kembalikan hati itu kepada fitrahnya. Kita telah “kembali”kan ia kepada Pemiliknya! Maka, wajarlah ketenangan itu hadir, kekuatan itu ada. Itulah ikatan yang ada antara hati dan pemilikNya. Iman letaknya di situ, taqwa letaknya di situ, hawa nafsu juga di situ. Jiwa juga di situ. Cinta, rindu, kasih sayang, dendam, hasad dengki, marah, semuanya tersimpan di situ. Bisikan malaikat, bisikan syaitan juga kedengaran di situ. Segala tindak tanduk juga bermula dari situ. Pulihkan hatimu, bersihkan hatimu, kembalikan ia pada kedudukan asalnya, maka akan stabillah keseluruhannya.
“Sesungguhnya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang..” Ar-Ra’d: 28
- 3. Buka Hati, Terima Cinta
Kekuatan ada, namun adakala menyimpang atau tersasar. Kadang-kadang rasa malas. Kadang-kadang, cepat benar futur(lemah). Inilah peranan halaqoh atau usrah yang membantu membina kekuatan dalam diri. Halaqoh membangunkan spiritual pada jiwa. Halaqoh menyuntik nilai-nilai tarbiyah tanpa sedar. Perlahan-lahan, proses hijrah itu tetap akan bergerak. Dari satu masa ke masa yang lain, perubahannya akan jelas terasa. Relakanlah hatimu untuk ditarbiyah. Bukanlah kebijaksanaan atau ketinggian ilmu murabbiah yang menjadi dasar penentu, cukuplah keikhlasan dan keterbukaan hati yang ingin terus mencari Rabb, maka perlahan-lahan hati dan jiwa itu akan terubat. Ahhh..nikmatnya!
“Ya Allah, tsabbit qulubana ‘ala deenik!”
2 Comments »
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.



salam…
no 2 dalam list nh yang paling susah..huhuh
tapi tips yang awak bg sangat baik…sye sendiri akan cube,heheh
innama akhmalu biniaat(maaf klu salah taip rumi)
jd ade connection dgn ALLAH, pasti ada protection kan…huhu
terima kasih sekali lg..penulisan yg baik…
salam.
Comment by abu bakar naim jamil — October 19, 2009 #
sy btulkan ye.
“innama a’malu binniat”. huruf ‘ain. bukan kha.
la’ syukran ‘alal wajib.
terima kasih jgk krn msh tak jemu2 bertandang ke pondok buruk ini..
w’salam wrt.
Comment by eslamicqueen — October 20, 2009 #