ilham mimpi ke jinjang pelamin part II

July 19, 2009 at 12:36 pm | In Baitul Muslim | Leave a Comment

“dhiya setuju kita kahwin?”

Dia hanya sekadar mengangguk. Jelas sekali dia setuju. Lelaki di sebelahnya hanya memandang sekilas. Bimbang panahan syaitan mendahului pandangan Allah. Raut wajahnya tidak menampakkan kepuasan. Ada lagi persoalan yang menyinggah, merampas ketenangan. Lelaki itu biasa-biasa sahaja pada pandangan wanita di sebelahnya. Kalau mereka yang menilai kualiti “kehenseman”, lelaki ini mungkin di tangga terawal dari belakang. Namun, pada dia cukuplah sekadar menyejukkan pandangan mata. Dia mengutamakan pandangan hati. Kalau hati bersih itu ujar “ya”, maka “ya” lah jawapannya. Noktah.

“kenapa?” Lelaki berkemeja kemas itu terus menyoal. Dia tidak senang hati. Ada kegelisahan masih bertamu. Raut wajah bimbang bukan sekadar terpamer di wajahnya, malah turut terpancar pada raut gadis di hadapannya. Malu. Gelisah. Ingin sahaja cepat-cepat menamatkan perbualan yang dirasakannya tidak wajar itu.

“Cukuplah ibu dan ayah merestui. Lagipun, inikan permintaan ibu ayah. Bukankah ayah selayaknya wali yang paling layak untuk menikahkan anak perempuannya dengan lelaki soleh? Kalau ayah cakap begitu, wajarkah Dhiya membantah?” Persoalan yang memuntahkan jawapan. Tepat sekali pilihannya.

“Tapi..adakah dia lelaki yang ditarbiyah?” Ragu-ragu. Hatinya tertanya-tanya.

Gelap. Saya terjaga. Tangan gatal ini memisat-misat mata. Masih kabur. Perasaan itu masih wujud dalam hati. Ceria. Masih jelas kedengaran perbualan mereka. Watak-watak seperti dihafal. Ilham dari mimpikah? Kisah sendiri masa depankah? atau gangguan syaitan? atau saya terlalu memikirkan soal kahwin? Err.. jawapan terakhir sama sekali tidak diterima. Saya terlalu sibuk. Tidak sempat untuk berfikiran sejauh itu, walaupun mendirikan masjid termasuk dalam perancangan hidup saya. Saya termenung jauh. Berfikir.

Saya harap, pemikiran saya jelas tentang bab hidup yang satu ini. Persoalan Dhiya sedikit sebanyak menyentuh emosi saya. “Apakah dia lelaki yang ditarbiyah?” Saya tahu, mungkin sesetengah orang, berfikir soal ini terlalu ringkas dan boleh ditangguhkan berfikir mengenainya. Saya tahu, ramai yang mengelak daripada membaca buku-buku yang ilmiah (bukan novel-novel cinta tidak syar’ie) yang berbicara tentang ini. Kebanyakannya mungkin daripada golongan yang berpendidikan agama dan golongan yang serius dalam belajar. Saya tidak pasti, apakah wajar dan relevan, namun yang saya tahu pembacaan tentang hal-hal rumahtangga bukan menggalakkan kita untuk cepat-cepat mendirikan rumah tangga, namun mengajar untuk lebih faham dan tahu selain membentuk peribadi ke arah menjadi suami, isteri, bapa dan ibu.

Pada saya, sekurang-kurangnya hasil pembacaan mematangkan fikiran. Soalan-soalan seperti di bawah pastinya sedikit sebanyak akan terjawab. Belajar menghitung kemampuan diri, dan bersedia untuk sentiasa bermuhasabah!

i. “bagaimana saya mampu untuk menjadikan perkahwinan saya kerana Allah, bukan kerana nafsu dan syahwat atau keinginan-keinginan dunia yang lain?”

-Saya mestilah memastikan perkahwinan saya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumahtangga muslim, untuk melahirkan keturunan yang soleh, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan.  (Apa Ertinya Saya Menganut Islam?, Fathi Yakan, Halaman 67).

-Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untuk menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertaqwa kepada Allah. (Apa Ertinya Saya Menganut Islam?, Fathi Yakan, Halaman 67).

“Oleh itu janganlah kamu menyeru (menyembah) tuhan yang lain di samping Allah yang menyebabkan kamu termasuk golongan orang-orang yang diazab dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu iaitu orang-orang yang beriman.” (Al-Syu’ara: 213-215)

 

ii. “apakah kriteria suami atau isteri yang harus saya utamakan untuk membantu saya menegakkan agama Allah?”

-Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah saya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan. (Apa Ertinya Saya Menganut Islam?, Fathi Yakan, Halaman 68).

-Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia tidak punya harta kekayaan dan kecantikan. (Apa Ertinya Saya Menganut Islam?, Fathi Yakan, Halaman 68).

iii. “bagaimanakah caranya untuk saya melahirkan dan mendidik anak-anak supaya terbentuk menjadi generasi yang akan membela Islam kelak?” (Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Fathi Yakan, Halaman 71)

iv.  “bagaimanakah cinta yang harus saya mulakan, agar saya benar-benar mencintai seseorang kerana Allah?”

v. “apakah potensi saya sekarang (ilmu agama merangkumi akidah, ibadah dan akhlak) cukup untuk saya menjadi  hamba, anak, isteri dan ibu yang baik? /hamba, anak, suami, dan ayah yang soleh?”

vi. “apakah usaha-usaha yang harus saya lakukan bermula dari saat ini, waktu ini, sekarang ini untuk mengejar status hamba, anak, isteri/suami, ibu/ayah yang baik?”

Saya tidak pasti, apakah ramai yang mempunyai pemikiran seperti ini. Saya bukan golongan cerdik pandai, saya hanya berkongsi apa yang saya tahu. Ilmu saya ternyata sangat-sangat sedikit. Saya masih belajar, dan tetap akan terus belajar. Saya mahu lebih banyak cinta yang tumbuh di atas jalan dakwah. Bukan jalan sia-sia. Saya mahu lebih banyak perkahwinan yang berdiri di atas pancang dan jalan dakwah. Saya mahu adanya isteri dan suami saling membantu menegakkan kalimah Lailahaillallah, kerana sememangnya itulah tujuan dan matlamat kita hidup di dunia.

“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” – (Al-Zariyat: 56)

Saya mahu lebih ramai anak-anak yang punya acuan tarbiyah. Ada nilai-nilai pejuang untuk menegakkan Islam sebagaimana Islam pernah tertegak dahulu kala. Saya lemah, saya manusia yang sangat lemah. Saya perlukan sokongan, oleh sebab itu saya perlukan lebih ramai yang punya pemikiran sebegitu untuk menguatkan saya agar tetap istiqamah di atas jalan yang lurus. Kerana hati itu memang dijadikan mudah berbolak-balik! Bimbang saya tersasar, risau saya menyimpang!

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqan:74)

ilham mimpi ke jinjang pelamin?

July 14, 2009 at 9:59 pm | In Baitul Muslim | 3 Comments

seethelight

“dhiya setuju kita kahwin?”

Dia hanya sekadar mengangguk. Jelas sekali dia setuju. Lelaki di sebelahnya hanya memandang sekilas. Bimbang panahan syaitan mendahului pandangan Allah. Raut wajahnya tidak menampakkan kepuasan. Ada lagi persoalan yang menyinggah, merampas ketenangan. Lelaki itu biasa-biasa sahaja pada pandangan wanita di sebelahnya. Kalau mereka yang menilai kualiti “kehenseman”, lelaki ini mungkin di tangga terawal dari belakang. Namun, pada dia cukuplah sekadar menyejukkan pandangan mata. Dia mengutamakan pandangan hati. Kalau hati bersih itu ujar “ya”, maka “ya” lah jawapannya. Noktah.

“kenapa?” Lelaki berkemeja kemas itu terus menyoal. Dia tidak senang hati. Ada kegelisahan masih bertamu. Raut wajah bimbang bukan sekadar terpamer di wajahnya, malah turut terpancar pada raut gadis di hadapannya. Malu. Gelisah. Ingin sahaja cepat-cepat menamatkan perbualan yang dirasakannya tidak wajar itu.

“Cukuplah ibu dan ayah merestui. Lagipun, inikan permintaan ibu ayah. Bukankah ayah selayaknya wali yang paling layak untuk menikahkan anak perempuannya dengan lelaki soleh? Kalau ayah cakap begitu, wajarkah Dhiya membantah?” Persoalan yang memuntahkan jawapan. Tepat sekali pilihannya.

“Tapi..adakah dia lelaki yang ditarbiyah?” Ragu-ragu. Hatinya tertanya-tanya.

Gelap. Saya terjaga. Tangan gatal ini memisat-misat mata. Masih kabur. Perasaan itu masih wujud dalam hati. Ceria. Masih jelas kedengaran perbualan mereka. Watak-watak seperti dihafal. Ilham dari mimpikah? Kisah sendiri masa depankah? atau gangguan syaitan? atau saya terlalu memikirkan soal kahwin? Err.. jawapan terakhir sama sekali tidak diterima. Saya terlalu sibuk. Tidak sempat untuk berfikiran sejauh itu, walaupun mendirikan masjid termasuk dalam perancangan hidup saya.

to be continued..

kata hati: erm, perkahwinan itu amanah!

June 22, 2009 at 7:48 am | In Baitul Muslim | Leave a Comment
Tags: , , , , , , , ,

kahwin kerana Allah!

  • Dia ingin suami sehebat itu!

Dia termangu. Diam membisu. Kadang-kadang tersenyum sendiri. Terkulat-kulat mencari kriteria mujahid idaman hati. Terbayang-bayang peribadi suami soleh yang ingin dimiliki. Dia bukan pencinta bernama lelaki, tetapi dia pencinta si suami. Dia wanita penentang keras cinta sebelum nikah, dia hanya ingin sah dimiliki selepas “Aku Terima Nikahnya” terlafaz. Dia ingin memiliki kasih suami, dia ingin menjadi sayap kiri yang rela berjuang bersama suami. Dia ingin ditarbiyah, dia ingin ditegur penuh hikmah. Dia ingin punya suami romantik, halus dan santun berkata-kata. Mengelus lembut, membelai penuh kasih, mencintai sepenuh hati. Dia ingin begitu.

Dia ingin suami kuat beragama. Pandai bertazkirah. Hebat berkata-kata. Hebat memimpin. Suami tegas seperti ‘Umar, namun lembut seperti Abu Bakr. Bijak laksana ‘Ali, ada malu seperti Uthman. Dia terlalu memuja kumbang yang sebegitu.

  • Apa itu Baitul Muslim?

Baitul Muslim dalam jamaah adalah salah satu platform bermanfaat untuk mencari suami soleh dan isteri solehah. Kedua-duanya dalam golongan yang ditarbiyah dan mentarbiyah. Salah satu usaha, menjadikan “orang tengah” sebagai penghubung dan pengikat cinta halal ke arah membina masjid; perkahwinan.  Cinta terlarang dapat dielak, sekaligus membangkitkan harmoni dalam rumah tangga. Ta’aruf selepas perkahwinan. Bukankah misteri itu indah? Bukankah manusia memang nalurinya memang suka pada benda yang baru? Bukankah kita penuh sifat inkuiri?

“Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diintitusikan di bawah “Unit Baitul Muslim” adalah suatu tradisi zaman-berzaman yang amat berguna. –Bercinta Sampai ke Syurga, Hasrizal Abdul Jamil.

bukan sekadar "cinta"!

  • Memberi dan menerima, itulah kesempurnaan!

Dia berkira-kira. “Borang Baitul Muslim” masih di tangan. Ruangan ciri-ciri suami yang harus diisi, masih kosong. Pen masih di tangan. Mencari peribadi yang konon sesuai dengan peribadi. Fikir-fikir kembali, kita manusia memang selalu begitu. Bukan semua, tetapi sebilangan. Mencari kesempurnaan sebelum menilai kesempurnaan diri. Mengharapkan kehebatan luar biasa dari orang lain, sedangkan kita belum pun melangkah ke arah itu.

Manusia selalu mencari erti sempurna. Bukankah memuaskan hati semua orang adalah hal yang paling mustahil? Oh, marilah menjadi hamba yang bersyukur!

Hakikatnya, jika sama-sama saling memberi dan menerima, itulah hakikat kesempurnaan yang sebenar-benarnya! Melengkapi apabila memerlukan dan memberi apabila diperlukan.

  • Orang selalu nak suami soleh, isteri solehah tapi..

Ramai yang ingin dimiliki isteri solehah. Ramai yang ingin memiliki suami soleh. Kadang-kadang diri belum diajar sepenuhnya untuk jadi si soleh dan solehah. Apa kata, sambil berdoa, sambil kita bergerak ke arah itu? Bukankah janji Allah itu benar? Jika kita soleh dan solehah, imbalannya juga begitu, bukan?

Oh, ramai juga berangan-angan ingin punya si soleh dan si solehah. Namun, kita sering terlupa sesuatu. Perkahwinan bukan sekadar memiliki dan dimiliki si soleh dan si solehah. Pernahkah terfikir manhaj ke arah pembentukan baitul muslim yang sejati? Pernahkah terfikir bagaimana untuk membentuk keluarga yang diredhai Allah? Pernahkah terfikir bagaimana untuk mencorak anak-anak yang akan terlahir? Pernahkah terfikir bagaimana untuk mentarbiyah, pada masa yang sama ditarbiyah? Amanah, sungguh bukan kerja mudah. Jom berfikir dan belajar!

monolog hati: apa itu cinta?

June 22, 2009 at 12:00 am | In Baitul Muslim | Comments Off
Tags: , , , , , , , , , ,

Cinta. Dia melindungi aku. Aku melindungi dia. Cukup. Noktah.  Aku tidak mahu dia tersungkur rebah keranaku, dan aku tidak mahu terlalai kerana dia. Cukup, aku dan dia berkasih dalam doa. Cinta yang rahsia. Menggunung tinggi, tanpa sesiapa pun tahu. Dia juga tidak tahu, namun Allah tahu. Lafaz yang tersimpan ini akan terluah setelah Allah mengizinkan.

Cinta yang seni. Milik Pencipta yang dihadiahkan buat hamba-hambanya. Suci. Bersih. Kerja menyatukan itu urusanNya. Percaya pada ketentuan Ilahi, percaya pada ketetapanNya. Dia lebih mengetahui hamba-hambaNya, baik buruk sebab dan akibat. Cukuplah dengan keyakinan sepenuhnya pada Dia. Redha, bertawakal, berserah.

Cinta itu benar-benar menguji. Cinta sebagai ujian; menguji sejauh mana kebergantungan kita pada Allah, sejauh mana keyakinan kita pada Maha Kuasanya Allah yang mengatur segalanya, termasuk C-I-N-T-A!

Dia tidak perlu mengenaliku. Aku tidak perlu mengenalinya. Tiada sebab untuk kami berhubung; melainkan Allah telah menetapkan tarikhnya, bila, bagaimana dan di mana. Topik perbualan tentunya jadi lebih menarik dengan adanya redha Allah. Ta’aruf akan jadi lebih mesra dengan keizinan Pencipta. Maka, aku memilih untuk mendidik hawa nafsu kerana aku ingin benar cinta itu. Berusaha mendidiknya agar tunduk pada Pencipta. Yang Maha Menciptakan; Dia Tuhan yang mencipta cinta itu! Percaya bahawa S-A-B-A-R itu menjanjikan suatu yang lebih indah. Aku dambakan keindahan abadi daripada yang sementara. Hakikatnya yang sementara itu walau indah di mata namun langsung tidak bermakna! Mohon pertolongan dengan S-A-B-A-R dan S-O-L-A-T; tidaklah mudah melainkan hanya orang-orang yang khusyuk.

C-I-N-T-A itu saling menjaga. Dia menjaga dirinya untukku kerana Allah, aku menjaga diriku untuknya kerana Allah. Bertanggungjawab memelihara diri kerana Allah. Menjaga maruah dan peribadi. Tutur kata dan pergaulan. Hati dan jasad. Memelihara diri sebaik mungkin,kerana makhluk yang bernama manusia dicipta sifat cemburu. Cemburu menghuni hati itu. Perasaan cemburu itu ada andai hak milik peribadi yang sangat disayangi, dipandang, dipegang  dan dirampas sesuka hati. Sesekali tidak mahu memadam api cemburu, oleh itu aku tidak sesekali ingin menyalakannya! Oh Tuhan, lindungi aku.

C-I-N-T-A- itu semangat. Pengislahan diri. Transformasi untuk jadi lebih baik dari semasa ke semasa. C-I-N-T-A- itu mengajar diri membentuk peribadi. Malu andai diri masih jahil. Malu kerana masih leka dan lalai. Malu kerana prestasi amal dan iman yang dirasakan tidak setaraf. C-I-N-T-A- sejati mentarbiyah diri mengenal Tuhan.

C-I-N-T-A- itu masa depan. Cinta yang dimulakan dengan cara yang baik, pasti akan berakhir dengan jalan yang baik. Cara yang dibentuk dengan acuan syariat, pasti hasilnya cantik dan indah. Cinta yang datangnya dari benih yang baik, pastinya akan melahirkan sesuatu yang baik. Cinta yang menyemai sifat-sifat kebaikan dalam jiwa keturunan.

Jalan yang SUSAH jarang ditempuh. Namun, siapa yang berani menempuhnya pasti akan berjaya. Yang SUSAH akan menjadi SENANG. Yang SUKAR di MUDAHkan. Adakah jalan yang SUSAH  tiada RANJAU BERDURI?

Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. (iaitu) mereka yang yakin, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (Al-Baqarah:45-46)

M-U-J-A-H-A-D-A-H- = berjuang melawan hawa nafsu

T-A-U-B-A-T- = iringi setiap DOSA, dengan TAUBAT

Kita hamba bernama manusia. Usah jadi malaikat. Usah jadi syaitan. Beribu kali jatuh tersungkur, beribu kali tersadai hilang arah tuju, hilang pedoman, hilang arah punca terus membuat dosa. Normal. Aku manusia. Manusia biasa. Hakimilah aku dan mereka sebagai hamba berjawatan manusia kerana kita sama-sama manusia. Tidak pernah  terhindar dari dosa.

Usah membunuh C-I-N-T-A, kerana C-I-N-T-A- suatu anugerah. Tanamlah C-I-N-T-A sebagai fitrah, jangan biar jadi F-I-T-N-A-H.

“Ya Allah,kurniakanlah untuk kami cintaiMu,cinta orang-orang  yg mencintaiMu serta amalan yg dapat mendekatkan diri kami kepada cintaMu…

Ya Allah,segala pemberianMu yg kami sayangi ,jadikanlah ia kekuatan utk kami mencintaiMu,dan segala apa Engkau pisahkan dari kami,sedangkan ianya amat kami sayangi,maka jadikanlah ia ruang untuk cintaMu dalam diri kami…

Ya Allah,berikanlah kami kekuatan utk mengutamakan cintaMu,melebihi cinta kami kepada keluarga,harta benda dan meskipun air yg dingin ketika dahaga…

Ya Allah,berikanlah kami kekuatan untuk mencintaiMu,para MalaikatMu,nabi-nabiMu,para RasulMu serta hamba-hambaMu yg soleh…

Ya Allah,hidupkanlah hati kami dengan cahaya cintaMu dan jadikanlah kami antara hamba-hamba yang Engkau cintai…

Ya Allah,berikanlah kami kekuatan untuk mencintaiMu sepenuh hati kami dan redha kepadaMu atas setiap segala usaha kami…

Ya Tuhan kami,jadikanlah kami bagi-Mu akan apa yang Kau cintai…”


 

 

Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.