sentuhan hlovate pada jiwa

November 20, 2009 at 8:22 am | In Resensi | 4 Comments

cover depan yang lawa

aA+bB hasil karya Hlovate mengajar erti hidup. Saya belajar untuk cuba memaknakan hidup. Hidup yang jalannya bermula daripada lelah dan putus asa. Kronologi awal memang ada ketika dirasakan tidak kena dengan jiwa. Sesekali, ada masanya hati juga terusik. Akal tiba-tiba cuba menguji,dan cuba bertanya:

“perlukah aku meneruskan pembacaan? betul ke aku di track yang betul nie? alahaiii..takut plak la tersilap jalan. cuti-cuti Malaysia nie bukan boleh percaya sangat. kalau orang lain cuti Malaysia, aku percaya. kalau aku sendiri, kadang-kadang boleh terbabas tak ingat dunia. walaupun ingat Allah itu ada, walaupun kenal Pencipta itu siapa, tahu-tahu sajalah bilamana nafsu menguasai.. ya Allah, na’udzubillah..”

aA+bB- Hlovate rentak bahasanya santai. Ada banyak perkataan yang gila-gila. Bukan Bahasa Melayu biasa. Namun, ada masanya sentuhan penulis tepat kena pada hati. Penulis menjiwai watak seorang remaja yang membesar dewasa. Memahami gaya hidup seorang Pra-Dewasa. Seterusnya, menjadi seorang Dewasa. Penulis menghurai makna hidup yang bermula daripada jahil tidak tahu apa-apa, sedikit celik dengan dunia, dan proses belajar ini terus berjalan hingga akhirnya betul-betul mengenal kewujudan Pencipta. Subhanallah, ilham dari Allah yang sungguh luar biasa!

Suka dengan gaya bahasa yang tidak direct, tetapi boleh difahami. Suka dengan kronologi cerita yang banyak unsur suspens, dan lawak santai yang sememangnya mencuit hati. Pada mulanya, ingatkan jalan cerita novel nie macam ala-ala CINTA ROMEO dan JULIET, ataupun macam biasa yang kita selalu tengok dalam drama, mula-mula bergaduh tidak ingat dunia, “You You! I I! Yours is Yours. Mine is Mine”,  kemudian kena kahwin paksa, kemudian tiba-tiba jatuh cinta, dan hidup happy ever after. Lain sedikit, walaupun ada unsur-unsur yang sebegitu.

Apapun, saya dapat sesuatu.

1. belajar menghayati erti hidup. setiap titik perjalanan yang dilalui, ada maknanya yang Allah sedang rancang, ada hikmahnya yang tersendiri.

2. bersedia untuk belajar, dan buka hati untuk belajar. hanya orang yang nak belajar, dan nak buka hati untuk terima hidayah Allah saja yang akan dapat kenal HIKMAH hidup.

3. masa silam dan masa lampau mengajar. kejahilan atau kesilapan pada masa lalu bukan suatu yang sia-sia, tetapi mengajar diri untuk lebih memaknakan hidup pada masa depan.

4. apa yang dirasakan tidak sesuai dengan diri, atau difikir tidak serasi dengan jiwa, apabila Allah dah kata YA, walaupun benda tue kita tak suka, percayalah bahawa ada sesuatu yang dirancangNya. setiap perancangan Allah itulah yang terbaik.

5. positiflah dengan apa saja mendatang.

6. bukalah minda untuk menceburkan diri dalam sesuatu yang baru. selagi tidak salah atau bertentangan di sisi agama, teruskanlah. percaya pada Allah. percaya pada diri!

aA+bB: Hlovate best!

p/s: apapun, terpulang pada individu masing-masing. punya cara dan rentak sendiri. cara kita fikir berbeza, cara kita pandang sesuatu pun berbeza, namun selagi kita percaya bahawa Allah itu ada, dan Dia Tuhan kita, menghayati makna Ad-Deen dalam hidup, mempraktikkannya sehabis daya, maka kita serupa. tiada beza. Oh, aku manusia biasa! [uhuh..nak kena baca buku ilmiah plak nieh. otak berkarat nanti. takmaula..takmau!]

Wassalam.

Cinta Sang Murabbi

October 3, 2009 at 5:15 am | In Resensi | 12 Comments

“Selonggok manusia terkapar, siapa yang mengaku bertanggungjawab? Bila semua pihak menghindar, biarlah saya yang menanggungnya, Semua atau sebahagiannya. Saya harus mengambil alih tanggungjawab ini, dengan kesedihan yang sungguh, seperti saya menangisinya saat pertama kali menjejakkan kaki di mata air peradaban moden ini.”

“Ladang dakwah terhampar luas, kewajipan kita untuk menyirami tanah-tanah tandus, menyemai benih-benih unggul, agar tumbuh pohon-pohon kejayaan ISLAM..”

- Sang Murabbi

Kelu. Tersentuh. Sang Murabbi mengungkap segalanya.

Bahasa mulutnya bahasa jiwa. Menyentuh hati-hati orang yang mendengarnya. Mengetuk jiwa yang lemah untuk segera bangkit dari lelah. Membunyikan semboyan semangat untuk menanam kembali spiritual jiwa-jiwa yang telah futur. Memaksa mata untuk tetap terjaga dari lena yang terlalu lama. Ternyata, dakwah itu banyak dugaannya. Berduri jalannya.

Sang Murabbi tegar memperjuangkan matlamatnya kerana cintanya pada Allah, kerana kasihnya pada Rasulullah, juga kerana sayangnya pada agama. Salamnya salam mesra. Senyumannya, senyuman tulus. Kreatif. Berseni. Dia sama sekali tidak menghukum, kerana itu bukan tugas kita sebagai manusia untuk mengadili. Baik buruk sekali atau jahat perangainya, dia terus menyeru. Bercampur dengan mereka dan terus mengajak. Tiada bezanya sama ada baik atau buruk. Dia juga percaya bahawa hati-hati manusia itu punya fitrah yang sama. Fitrah mencari Tuhan, fitrah menyukai kebaikan, fitrah berkasih sayang. Dia juga percaya bahawa setiap manusia sememangnya ada unsur-unsur kebaikan yang perlu digilap.

Dia juga meyakini bahawa semua yang baik terletak pada seketul daging itu, iaitu hati. Maka, dia berusaha keras untuk kembali membawa hati-hati itu kepada fitrah. Dia berusaha membawa hati-hati itu supaya kembali mengenal Pencipta-ALLAH, mengenal Rasul, mengenal Malaikat, mengenal Kitab, mengenal Hari Akhirat, dan mengenal Qada’ dan Qadar. Kemudian, memahami kesemua rukun iman ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bukan memaksa, tetapi terus menyeru. Bukan menghukum, tetapi terus mendidik. Sabar!

Apabila hati-hati ini makin mengenal Pencipta, maka tertutuplah segala pintu kejahatan. Bersujudlah mereka memohon ampun atas segenap dosa-dosa di dunia. Lantas, hati-hati itu kembali suci diterangi hidayah dariNya. Subhanallah, kembalilah mereka kepada Pencipta yang Maha Agung!

Dia seorang murabbi. Tetapi, dia masih juga seorang anak dan abang. Pada masa yang sama, dia juga seorang suami. Dia tetap seorang ayah. Dia kekal sebagai seorang sahabat! Dalam kesibukan mengejar pangkat di akhirat, dia masih tidak lupa jawatan di dunia. Subhanallah!

“Ada jutaan tipu daya yang akan menyerang. Musuh bukan yang bersenjata, tapi bisa jadi diri kita sendiri. Kebahagiaan sejati akan diperoleh manusia bila ia tidak bertumpu pada sesuatu yang fana dan rapuh dan sebaliknya justeru berorientasi pada keabadian..”

“Ya Allah, sebagaimana kami merasai nikmat IMAN dan ISLAM, kau curahkanlah kepada mereka yang masih tercari-cari hidayahMu.. amin.”

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

August 8, 2009 at 8:27 am | In Resensi | 10 Comments

“Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” karya HAMKA, saya baru memiliki setelah lama mencari. Lama sungguh. Jarang sekali terjumpa di kedai-kedai buku biasa. Ma’rad Kutub (Pesta Buku) di UIAM baru-baru ini menemukan saya dengannya. Hari pertama, saya hanya belek-belek. Ada dua  naskhah sahaja. Duit poket tidak banyak. Malahan, kalau saya membelinya mungkin akan terjejas perbelanjaan seharian. Hari kedua, hanya tinggal senaskhah. Siapalah agaknya yang telah memiliki senaskhah lagi? Hah, tidak boleh jadi! Keinginan membuak-buak, saya bimbang tidak ketemu lagi, maka saya cepat-cepat membelinya.

Saya fikir saya tahu jalan ceritanya setelah melihat tajuk yang terpampang pada kulit buku. Fikir-fikir, dan main teka teki sebelum memulakan pembacaan. Cerita ini mungkin berkaitan cerita sejarah, atau cerita pahlawan muda, atau cerita-cerita pejuang dan peperangan. Rupa-rupanya meleset sekali sangkaan saya. Ya, ia bertemakan sejarah! Sejarah hidup seseorang. Ya, ia bertemakan pahlawan muda! Pahlawan muda yang berjuang menjalani hidupnya yang penuh sengsara dan derita. Ya, ia berkaitan seorang pejuang! Pejuang muda yang berjuang mempertahankan cinta sucinya pada seorang perempuan, yang sungguh dicintainya setulus hati, sepenuh perasaan. Tidak tersangka-sangka, “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” bukan cerita sejarah negara atau negeri, bukan tentang perjuangan pemuda mendaulatkan negara, bukan tentang peperangan kaum, tetapi konflik perjuangan cinta!

Pada mulanya, hati saya kurang selesa dengan jalan cerita cinta yang bagi saya tidak sepatutnya. Berbalas surat cinta yang saya rasa, ada kurangnya di situ. Hanya gaya bahasa cerita ini yang mungkin menarik perhatian saya untuk meneruskan pembacaan. Puitis dan sangat romantik yang mungkin sesuai benar dengan jiwa. Gaya bahasanya sangat menusuk ke hati, hingga bahasanya seolah-olah hidup. Benarlah, karya yang ditulis dengan bahasa jiwa, bukan bahasa akal atau minda pasti mampu menyentuh hati-hati pembaca. Saya kini jelas sekali mengakuinya.

Namun, ia bukan cinta biasa. Tumbuhnya pada hati yang suci bersih dan penuh tulus ikhlas. Cinta luar biasa seorang pemuda kepada seorang gadis. Cinta suci seorang gadis kepada seorang pemuda. “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” mengajar tentang perjuangan cinta suci, bukan palsu sebagaimana yang suka sekali dibuat orang zaman sekarang. Pura-pura. Cinta yang berasaskan rupa dan kecantikan, cinta yang berasaskan adat, cinta yang berasaskan wang dan kekayaan, paling banyak melata tumbuh ialah cinta yang berasaskan hawa nafsu dan hanya untuk kepuasan diri. Entahlah, pendek kata jalan ceritanya lain sekali dengan jalan-jalan cerita cinta lain yang pernah saya baca! Mungkin kerana ditulis oleh seorang yang kaya ilmu, luas pengalamannya. Walaupun cerita cinta, kata orang kurang mencambah minda, pada saya jalan cerita buku ini, jelas sekali membuka minda saya. Kalau nak tahu lebih lanjut, rasanya tidak rugi kalau baca sekali. Hermm..

“Jika cinta itu dosa, ampunilah dan maafkanlah hamba! Hamba akan turut perintahMu, hamba tak akan melanggar larangan, tak akan menghentikan suruhan. Akan hamba simpan, biarlah orang lain tak tahu, tetapi izinkanlah hamba Ya Tuhan..”-Hayati, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 46)

“Pujianku tetaplah padaMu, ya Ilahi! Saya telah beroleh hidup, hidup yang saya kenang-kenangkan. Saya telah beroleh seorang perempuan tempat saya mengadukan hal. Perempuan yang budiman, adalah laksana matahari yang terbit pada waktu fajar bagi orang yang menunggu kedatangan siang. Perempuan yang budiman adalah laksana surat jeneral yang dikirim dari medan perang menyatakan kemenangan kepada raja yang mengutusnya. Dia adalah sebagai udara, tampang kehidupan yang akan dihisap oleh manusia yang nafasnya turun naik..” –Zainuddin, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 48)

Maka, dalam malam yang hening itu, naiklah dua doa permohonan ghaib, permohonan dari dua makhluk yang lemah dan memohon persandaran, yang keduanya tentu akan diterima Tuhan dengan segenap keadilan.. -Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 48)

“Rasanya lebih aib dan lebih cela anak perempuan yang sengaja menunduk-nundukkan kepalanya melihat seorang laki-laki, tetapi setelah selendangnya dibukanya, dia mengintip orang lalu lintas dari celah dinding..” –Zainuddin, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 56)

“Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Tuhan tidaklah akan menyia-nyiakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, ingat Dia pada waktu kita senang, supaya Dia ingat pula kepada kita waktu kita sengsara, Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidup kepadamu. Dialah yang akan menerangi jalan gelap. Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hati kau diberikanNya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyeksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan, dan taat kepada Ilahi..”- Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 61)

“Jika kita dikecewakan oleh perempuan pada hari ini, ada dua jalan yang ditempuh orang, satu jalan ditempuh oleh orang yang hina yang rendah budi. Satu jalan pula ditempuh oleh orang yang dalam fikirannya. Yang ditempuh oleh parewa ialah membalaskan dendam dengan jalan menganiaya. Dicarikannya pekasih atau kebenci kian ke mari, dituntutnya ilmu sihir kepada dukun-dukun yang pandai, sehingga perempuan itu cerai dengan suaminya…”

“Bukan begitu jalan yang ditempuh budiman. Jika hatinya dikecewakan, dia selalu mencari usaha menunjukkan di hadapan perempuan itu, bahawa dia tidak mati lantaran dibunuhnya. Dia masih hidup, dan masih sanggup tegak. Dia akan tunjukkan di hadapannya dan di hadapan suaminya bahawa jika maksudnya terlarang di sini, pada fasal lain dia tidak terhalang…” –Muluk, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (halaman 192)


Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.