saling tengok, lalu jatuh cinta!
December 31, 2009 at 8:21 pm | In Motivasi, Tarbiah, Tazkirah | Leave a CommentTags: amar makruf nahi mungkar, cinta Allah, cinta sejati, jatuh cinta, jatuh cinta dalam iman, peribadi muslim, sahabat Rasulullah
Sentuhlah hati aku ini ya Allah, sentuhlah ia dengan sentuhanMu. Biar aku nampak Syurga dan Neraka, agar bertambah-tambah kesungguhan aku untuk mencintaiMu. Biar bertambah-tambah kekuatan roh ini untuk bersegera melakukan kebaikan, amar makruf dan nahi mungkar.
Sentuhlah hati aku ini Ya Allah. Biar bergetar hebat hati aku saat aku memandang orang-orang yang bertaqwa, saat aku melihat jiddiyah mereka, saat aku merasai kehebatan iman mereka. Biar kami sama-sama saling memandang, lalu jatuh cinta! Cinta dalam iman, sebagaimana telah Kau ikat Ansor dan Muhajirin. Ikatan mereka ikatan iman, tanpa harta. Tanpa memandang rupa. Tanpa pangkat dan kedudukan. Sehinnga isteri sanggup dikorbankan. Sungguh ya Allah..tanamkan dalam diri ini cinta sebegitu, aku ingin sekali memuliakan saudara seagamaku! Aku ingin sekali meminjamkan bahuku untuk mereka menangis saat letih dan lelah, dan pinjamkan segala kekuatan yang aku ada untuk kami sama-sama berjuang keranaMu. Izinkanlah ya Allah, sentuhlah hati ini ya Allah..
Sentuhlah hati aku ini Ya Allah.. Biar terduduk menangis aku rindukan dia, kekasihMu. Rindukan bintang-bintang yang menyerikan zaman Rasulullah. Sahabat-sahabat yang begitu hebat berjuang. Sebagaimana gigihnya Saidina Abu Bakar menarik sahabat-sahabat untuk sama-sama memeluk Islam. Hanya selepas satu hari memeluk Islam, beliau berjaya mengajak yang lainnya. Sebagaimana teguhnya janji Mus’ab bin Umar, “takkan ada satu rumah pun di Madinah ini yang tak didakwahi!” Sebagaimana Asma binti Abu Bakr, mengikat perut yang berisi janin dengan tali pinggangnya, demi menghantar makanan kepada Rasulullah dan ayahnya. Sebagaimana takutnya Umar, sehingga pengsan selama dua hari dua malam apabila dikhabarkan tentang sakaratul maut. Sebagaimana Ukasyah, cepat-cepat bertanya mendahului yang lainnya, “apakah aku layak untuk ke Syurga, ya Rasulullah?”
Sentuhlah hati ini ya Allah, biar aku rasa kuat untuk berikan apa yang aku ada. Hilangkan rasa rendah diri dalam diri ini, cukuplah rendah hati. Aku tidak mahu berjalan lembik, seperti yang orang-orang kafir sangkakan! Aku tidak mahu berfikiran sempit, sebagaimana yang orang-orang kafir tafsirkan. Halakan aku ke arah kebaikan, walau sejentik. Aku tidak mahu jadi penunggu kebaikan, aku mahu jadi seorang pencari kebaikan.
Sentuhlah hati ini ya Allah, agar aku lebih berani berdepan dengan ummah. Takut sekali aku pada bumi yang akan bergegar kerana benci dan geram pada kelakuan anak Adam..
“Sahabatku, ketahuilah aku menyayangimu kerana Allah.”
“Sentuhlah hati-hati kami ya Allah, saling tengok lalu jatuh cinta!”
“Tegakkanlah ISLAM dalam dirimu, nescaya akan tertegak ISLAM di tempatmu.”
Salam Mujahadah.
mencari cinta dalam cinta
December 29, 2009 at 9:40 pm | In Tazkirah | 4 Comments
Dingin pagi terasa hingga ke tulang hitam. Namun, matanya memerah berbekas dengan tangisan. Lebih terasa hangat pipinya berbanding kesejukan yang terus-menerus membalut tubuh. Tidak pernah kering sejak hari pertama dulu. Hari ini masuk hari yang ke-15. Hari yang ke-15 dia rukuk dan sujud memohon ampun. Hari yang ke-15 dia berdiri menghidupkan satu pertiga malam. Hari yang ke-15 dia bersungguh-sungguh merebut pandangan Allah. Hari yang ke-15 dia bermujahadah melawan segala hawa nafsu demi menjaga hatinya.
Makin dia cuba, makin dia terasa hebatnya ujian itu. Makin dia melawan, makin dia terasa dekatnya dia dengan Tuhannya. Emel sahabatnya dibaca dan terus dibaca. Isinya semacam boleh dihafal, namun masih juga tidak jemu-jemu dia membacanya. Ada kekuatan. Ada harapan. Ada jalinan kasih sayang di situ.
Beberapa minggu lepas, beberapa bulan lepas dia mengirimkan sesuatu. Tiada tahan lagi menahan ujian bertimpa-timpa yang menyesakkan dada. Meragut rasa tenang dalam jiwa. Kerana satu jasad, satu nama, satu jiwa- Adam!
Assalamu’alaikum w.r.t.
Malu sungguh untuk aku mencoret kata-kata seterusnya. Rasa ini terus menghambat hati dan naluri aku, sahabatku. Entah bagaimana untuk aku didiknya perlahan-lahan, biar tewas sang nafsu yang makin giat! Sahabatku, mencurah-curah air mata sangat ini, tidak kutahu lagi pada siapa untuk aku mengadu melainkan engkau yang aku rasa lebih tahu kondisi jatuh dan bangun aku. Kita sama-sama pernah berdiri, pernah duduk, pernah jatuh, pernah sama-sama membina angan-angan dan cita-cita.
Sahabatku, kotorkah hatiku? Jenuh dan puas aku meminta, aku tetap merasakan betapa sang nafsu terlalu sukar untuk aku kalahkan. Aku merana dengan hati dan perasaan sendiri. Hari ini aku bahagia dengan nikmat iman yang kian menerobos dalam diri, namun esoknya aku kembali menjadi pemaksiat tegar yang terus memburu cinta seorang Adam. Kau tentu lebih tahu, rasanya macam apa? Bagaimana? Betapa kuat aku cuba menafikan, semakin kuat pula ia datang. Tanpa figura, tanpa suara, tanpa aku kenal siapa dia. Tapi, bahayanya aku tahu terlalu jauh sahabatku. Angan-angan dalam hati itu pastinya lebih membakar dan membara. Melemahkan aku yang sedia lemah!
Aku cuba, ya aku cuba! Tapi, sampai bila? Virus apakah ini yang racunnya terlalu menyeksa diri? Aku rasa aku seperti manusia munafik yang hari ini berdoa, menangis kerana dosa, bertaubat lalu esoknya aku kembali menjadi manusia paling hina. Hati aku kotor, sahabatku.. Aku benci dengan apa yang aku lalui. Aku benci dengan perasaan yang aku rasa bodoh dan tiada matlamat, tanpa hala tuju ini. Aku benci dengan perasaan kotor yang masuk dalam hati kosong ini.
Terasa ingin aku lari dari manusia bernama Adam. Namun, hakikatnya kau tentu tahu? Sahabatku, berikanlah aku pedoman dan nasihat, tunjuk ajar, untuk aku hapuskan segala perasaan yang kian memuncak. Mengapa orang yang tidak pernah merasakan cinta, yang sedang lalui saat-saat paling pahit seperti yang aku rasa? Aku rasa jijik dan sangatlah berdosa. Sedangkan mereka yang bercinta, aku lihat bahagianya jauh lebih ketara? Jiwa mereka seolah-olah tenang, tidak berserabut seperti kondisi aku saat ini. Masa ini. Kenapa orang lain yang ada tarbiah aku lihat kuat dan tidak ada hal-hal gangguan seperti ini? Kelam-kabut! Sekali lagi, hinakah aku ini sahabatku? Sedang jiwa ini masih muda, jasad ini masih perlu ditaklifkan pada tanggungjawab dan amanah yang lebih besar dari soal cinta! Aku tahu itu, sahabatku. Aku sentiasa tahu.
Aku mahu sekali hati yang dulu. Hati yang tenang. Hati yang kuat. Aku rasa aku telah sedaya upaya berusaha, makin kuat rasanya sahabatku. Makin kuat! Bantulah aku. Berikanlah aku pedoman buat jiwa, nasihat buat hati yang sangat-sangat memerlukannya. Bantu aku mencari erti cinta yang sebenar-benarnya, aku benci pada yang rapuh. Tolong..
Tersingkaplah segala kelemahan seorang gadis. Betapa aku malu!
Sahabatmu yang jauh,
Mutmainnah
Hari yang ke-15. Hari yang ke-15, dia masih lagi membaca dan terus membelek balasan sahabat, belahan jiwa. Kekasih hati, yang sentiasa meniupkan semangat dalam jiwa. Memberikan kata-kata mendidik yang sentiasa membangkitkan semangat untuk terus kuat bermujahadah demi mencari cinta Allah!
Salamalaik sahabatku,
Moga dalam lindungan Allah selalu.
Pertamanya, terima kasih. Terima kasih kerana menganggap sukamu, sukaku. Dukamu, dukaku. Moga Allah perkenan memayungi kita berdua dengan arasyNya di hari kiamat nanti kerana kasih sayang kita kerana cinta padaNya.
Sahabatku, aku cuba menelah apa yang ada di hatimu. Masihkah kau ingat kenangan lalu? Saat aku dan dirimu masih belum tahu makna perjuangan. Saat kau dan aku masih mencari hakikat mengenal Ilahi dan membina diri. Ingatkah kau pada dia? Satu nama yang takkan pernah kita lupa! Murabbiah berjiwa agung, bahasanya puitis, mendekatkan jiwa kepada Ilahi. Dia pernah berkata dalam tulisannya: “peritnya mujahadah menjaga cinta”. Aku sama sekali tidak faham maksudnya, sebab bukankah dia sama sekali tidak pernah terjebak dengan cinta, apatah lagi dia seorang yang sangat menjaga diri. Tapi, setelah masa berganti masa, waktu berganti waktu, hari berganti hari, tahun berganti tahun, sedikit sebanyak terurai maknanya satu persatu. Aku mula faham sedikit demi sedikit.
Jangan risau sahabatku, kufikir perasaan itu memang anugerah Allah apabila sudah sampai masanya. Kalau wanita yang tidak menjaga diri, masa inilah melonjak-lonjak rasa itu. Tapi kita bukan begitu bukan? Atau sekurang-kurangnya kita berusaha sekuatnya untuk menjaga diri. Moga Allah lindungi kita. Sahabatku sayang, inilah tarbiyah Allah buat kita. Ujian datang bagi wanita yang tak menjaga diri dan mereka tewas. Ujian itu juga datang kepada kita dan kita mujahadah.
Mujahadah kita, kerana yakin akan janji dan cinta Allah. Sahabatku, tidak ada jalan lain selain bersabar menanti saatnya Allah hadirkan dia yang dirimu tidak pernah sama sekali dengar suaranya, hadirkan dia yang engkau tak kenal rupanya tapi sering dinanti dan dirindu. Moga Allah hadirkan dia~insan yang terbaik buatmu, setanding peritnya mujahadah yang kau lalui.
Sahabatku, kita meniti jalan dakwah dan tarbiyah. Kita telah tanam tekad untuk tetap di jalan ini walau telah berkeluarga, walau telah ada sepuluh orang anak, walau sudah bercicit sekalipun sehinggalah kita mati atas jalan ini. Mohonlah doa pada Allah setinggi-tingginya moga dikurniakan bukan setakat yang soleh, tapi yang mampu menghidupkan jiwa kita untuk terus berkhidmat pada agamaNya.
Mustafa Masyur berkata pada isterinya pada hari perkahwian mereka “ Engkau adalah isteri keduaku.”
Lalu ditanya kepadanya, “Siapakah dia yang pertama?”
“Dakwah. Aku telah menikahinya sejak sekian lama dan aku takkan sama sekali meninggalkannya.”
Inilah harga cinta seorang pejuang dakwah. Terlalu banyak persiapan diri yang dituntut agar kita setia dalam susah dan senang. Maka, dekatkanlah diri dengan Allah, berusahalah mengukuhkan ilmu dakwah, tarbiyah dan kekeluargaan dalam diri. Cuba bahagikan masa sebaik mungkin. Moga harga cinta ini Allah gantikan dengan balasan yang setimpal. Dia akan hadir. Dia akan hadir. Cuma dia kini turut bermujahadah seperti dirimu, dan sedang mempersiapkan dirinya untuk melangkah ke maratib amal yang kedua.
Sahabatku, mabruk alaiki atas ujian yang telah kau terima. Moga kuat selalu. Air mata yang murah itu hadiahkanlah pada Allah. Rasa malu padaNya itu jadikanlah sebagai asbab untuk selalu bertaubat dan memohon ampun. Moga disucikan hati!
Salam rindu buatmu.
Wassalam.
akan bersambung kalau rajin….
- -diuji itu biasa, yang luar biasa adalah cara kita menerima ujian. mulakanlah hari barumu dengan hijrah, moga ada ertinya di situ. erti sebuah hijrah!
- -ini kisah Mutmainnah yang ke-3, hasil sentuhan Umairah Shafei dan Amirah Ab. Jalil. kisah Mutmainnah yang asal adalah milik Siti Radhiah Syahida bt. Mohd. Hamdan. saya hanya pinjam nama “Mutmainnah”. klik sini untuk kisah Mutmainnah part I, dan klik sini untuk part II. mungkin ada kisah ke 4,5,6,7,8,9,10, hihi! sampailah dia bertemu Penciptanya. *umy pinjam ye dhiah. kita sharing-sharing gitu eh? takpe ke? heh.
- -untuk Puteri Mira, sebahagian daripada diri yang terlalu banyak menyumbang fikrah. entri ini milik kita bersama. sayang kerana Allah! thanks dear. ^___________^
jangan pernah
October 1, 2009 at 7:13 am | In Tazkirah | 9 CommentsGadis itu kini bisu. Tertunduk malu. Malu pada satu kuasa hebat. Maha Hebat. Usai solat, dia menadah tangan berdoa. Lantaran malu yang tidak tertahan-tahan, tiada mampu kedua mata itu terus memandang garisan-garisan urat-urat di telapak. Lantas, dia akhirnya rebah. Rebah dalam sujud. Sujud yang disertakan doa dan tangisan yang tidak putus-putus. Penyesalan berserta taubat kerana dia kalah dan tewas lagi. Cinta itu sungguh telah meragut ketenangan hati seorang gadis. Gadis yang baru mengenal seni dan selok-belok tarbiyah.
Hatinya begitu teruja. Mengenal cinta itu kata mereka indah. Dulu ya, tapi kini baginya racun. Racun yang merosakkan ketenangan sekeping hati. Hati mudah lalai. Hati mudah saja melupakanNya. Kadangkala, kelalaian itu mengundang padah. Kita lupa diri. Kita lupa asal-usul. Kita lupa Pencipta. Kita lupa nikmat dan manisnya ibadah pada Allah. Berlalulah kekhusyukan dulu, berduyunlah syaitan kiri kanan. Oh, hebat sungguh kuasa cinta itu!
“ketahuilah dirimu wahai hamba, dikau seorang perempuan yang dijadikan indah pada mata lelaki. sememangnya Allah mentakdirkan dirimu sebagai perhiasan dunia, selain anak-anak,binatang ternakan dan harta benda. indahnya dirimu memungkinkan menyebabkan mereka lemah. maka, bertahan dan kuatlah wahai hamba bergelar wanita. kuatlah dan tetaplah menjaga dan memelihara dirimu sebaik-baiknya. biarlah dikatakan kolot, tidak up-to-date, tidak cantik, namun cukuplah pada hati itu Allah nampak keikhlasan dan kesungguhanmu menunaikan segala hakNya. cukuplah pada pandangan Allah, engkau sangat cantik, biarpun pada mata manusia engkau tiada indahnya langsung!
jangan ditambahkan kelemahan mereka yang ada secara naturalnya, dengan kelemahan kita yang boleh diubah-ubah dengan benteng malu dan iman. tegaslah dengan prinsipmu wahai diri, berusahalah membentengi dirimu dengan apa cara sekalipun. sekali lagi, kuat dan bertahanlah! biar payah, biar susah, biar tewas berkali-kali, cukuplah setiap usaha ini Allah nampak. sampailah suatu ketika, ketegasan itu akan sebati dengan diri, hinggakan apabila terbuat dosa hati gelisah tiba-tiba! percayalah bahawa hidayah Allah akan datang bila-bila masa, dengan iringan doa yang tidak putus-putus. kita mungkin akan berkali-kali tewas dalam melawan, namun hakikatnya itulah makna mujahadah; berperang dengan hawa nafsu. kita bukan manusia ma’sum, tetapi kita punya kekuatan dari dalam. kekuatan iman yang akan terus bersuara. kekuatan iman yang datangnya dari amalan ibadah yang meningkat dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi.
kita mungkin akan tewas berpuluh-puluh, beribu-ribu kali. namun berkali-kali hidayahNya akan terus menyapa diri, selagi mana kita punya keinginan dan niat untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. jangan pernah berputus asa dengan kelemahan dan kelalaian diri, kerana sungguh Maha Luas keampunanNya. Allah lebih mengetahui status hatimu. kita mungkin akan jemu memohon ampun daripada segala dosa-dosa, tetapi yakinlah bahawa Allah tidak akan pernah jemu mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu atau kini. Dia sama sekali tidak sama dengan makhluk! Allah tidak akan pernah menzalimi hamba-hambaNya. rebutlah dan ambillah hidayahNya secepat mungkin walau terpaksa berlawan dengan kehendak hati. rebutlah selagi berpeluang. rebutlah selagi mana, hidayah itu masih milik kita; hadiah daripadaNya. jangan sampai terlepas, dan akhirnya kita yang akan merana sendiri. ketahuilah dan sedarlah wahai diri, kehendak dan keinginan yang membuak-buak itu datangnya dari syaitan laknatullah. kita tidak akan pernah puas memenuhi keinginan itu kerana syaitan akan terus membuatkan kita terus dahaga. kita tidak akan pernah puas! takkan pernah puas walau berkali-kali menghirupnya.
kesucian jasad, yang tidak membenarkan satu mata yang tidak halal memandang walau sedikit anggota yang haram dilihat! kesucian mental yang tidak membenarkan sedikitpun lintasan kotor merosakkan akalnya! kesucian hati yang sentiasa berperang dan bermujahadah mempertahankan cinta suci kurniaan Allah s.w.t! indahnya andai kita penakluk kesucian itu! Subhanallah. Mampukah?
“Sekali wanita ternoda, berdekah-dekahlah syaitan ketawa!”
Peliharalah diri “kami”. Amin.
ceritera pagi raya
September 17, 2009 at 11:23 am | In Tazkirah | 4 CommentsIman bangun awal pagi ini. Dia menggosok-gosok mata yang tidak gatal. Lantas, dia menadah tangan dan berdoa. “alhamdulillahhilazi ahyana ba’dama amatana wa ilaihinnusyur..”, kemudian dia tersenyum sendiri. Iman teringat pesan Kakak, supaya sentiasa mulakan hari dengan doa dan senyuman, maka kita akan lebih bersemangat untuk meneruskan hari itu. Dia sungguh gembira sekali kerana hari ini Hari Raya. Pagi ini pagi raya.
Namun, Alhamdulillah, Iman masih tidak lupa satu perkara. Agaknya, dia sudah terbiasa dengan didikan sewaktu di dalam Madrasah Ramadhan. Seawal jam 4.30 pagi, Iman basahkan anggota-anggota wudhu’. Lantas, segera menunaikan solat sunat 4 rakaat; 2 rakaat untuk tahajjud dan 2 rakaat untuk taubat. Amalan ini sememangnya menjadi rutin hariannya sepanjang bulan Ramadhan. Syukurlah, dia masih tidak lupa.
Iman senang hati. Iman bersemangat. Iman gosok baju raya awal-awal pagi sebelum mandi. Dia kemudiannya tersengih sendiri. Suka dengan baju barunya. Bajunya cantik, berwarna coklat. Ada manik-manik yang berkilat. Sangat cantik. Ummie awal-awal lagi sudah berpesan, jangan lupa berniat mandi sunat hari raya. Iman mengangguk, masih bersemangat. Lantaran semangat Iman yang menjadi-jadi, Kakak cuba memgambil kesempatan.
“iman, iron baju akak ye nanti!”
Iman geleng kepala, tidak setuju. Kakak pujuk sampai Iman mahu. Akhirnya, Iman mengangguk setuju, namun beberapa minit kemudian membebel laju. Kakak hanya menadah telinga, mendengar sahaja bebelan Iman. Dia tahu, adiknya sangat baik. Sungguh rajin sekali dan berakhlak mulia. Jadi, Kakak tidak ambil pusing. Kakak meneruskan kerja-kerjanya yang masih berbaki. Dari semalam lagi, Kakak sibuk mengemas rumah, mengemop lantai, mencuci tingkap dan membasuh apa-apa yang patut. Kakak dibantu Kak Ngah yang baru sahaja sampai rumah lewat petang semalam. Mereka akan sama-sama menolong Ummie sambil ketawa terbahak-bahak. Kakak dan Kak Ngah suka berkongsi cerita. Kadang-kadang Abang Lang pun suka menyampuk. Ummie hanya menggeleng kepala dari jauh, amat senang sekali melihat anak-anak yang telah membesar panjang dalam jagaannya. Walid hanya sekadar mampu tersenyum. Manis sekali!
Namun, Kakak nampaknya sedih sekali pagi ini. Emosinya tidak stabil. Adakalanya, suka. Adakalanya macam sedih. Adakalanya, macam marah-marah. Iman tahu, itu sindrom “penyakit” orang-orang perempuan. “Hermmm..Allah bagi cuti agaknya.” Iman berfikir sesaat sambil meneruskan kerja menggosok baju. Fahamlah Iman tentang sesuatu, Kakak mungkin sedih kerana tidak dapat menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama-sama. Iman kemudiannya teringat kata-kata Abang Lang semalam. Abang Lang makin pandai berceramah. Iman suka. Panjang benar tazkirah Maghrib Abang Lang semalam, tetapi Iman masih ingat semuanya. Abang Lang bercerita tentang Amalan-Amalan Sunnah pada 1 Syawal. Salah satunya kena benar dengan situasi Kakak. Maka, pada hari ini Iman akan mengajak Kakak ke surau untuk sama-sama mendengar khutbah.
“sunnah mengajak seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan perempuan yang datang haid. tetapi, diasing perempuan yang datang haid (ma’zuroh) daripada perempuan yang boleh solat. bagi perempuan yang datang haid, sunnah mereka turut serta ke tempat solat supaya mereka sama-sama dapat menyaksikan solat Hari Raya dan mendengar khutbah solat Hari Raya Aidilfitri.”
Abang Lang kemudiannya meneruskan tazkirah Maghribnya dengan membaca sepotong hadis.
Ummu ‘Athiyah r.a telah berkata:
“Kami telah diperintahkan oleh Nabi s.a.w. untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan wanita-wanita yang haid diperintahkan Nabi s.a.w. agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat.”
Hadis Riwayat Imam Bukhari
Ummie sibuk merebus ketupat. Iman suka bau ketupat dari jauh. Enak sekali baunya. Iman datang dekat-dekat Ummie. Ummie menyuruhnya lekas-lekas mandi. Iman masih lagi di situ, melihat tingkah Ummie satu persatu.
“Ummie, Kak Ngah tengah mandi laa. Macam mana Iman nak mandi?”. Iman bersungut.
“Ohh..macam tue. Oklah, kita sarapan dengan Walid dulu. Lepas sarapan, cepat-cepat mandi tau!”. Ummie mencubit pipi gebu Iman. Iman tersengih lagi. Manja.
“Ermm..kita makan ketupat. Iman tau tak Rasulullah makan apa pagi-pagi raya macam nie?” Walid sengaja menduga ingatan Iman.
“Alaa Walid nie. Mestilah Iman tau! Kacang je tue! Kan Abang Lang dah bagitau semalam. Rasulullah makan kurma kan?”
“Pandai anak Walid ye!”
“Mestilaaa..tengok Abang dia la..kan Iman?” Abang Lang menyampuk dari belakang. Kemudiannya, mereka sama-sama ketawa.
“Perasan laaa Abang Lang nie..”
“Sekali-sekala. Haha. Iman kan dah lama tak tengok Abang Lang perasan? Hermm.. Iman tau tak kenapa Rasulullah makan terlebih dahulu sebelum keluar pada pagi raya?” Abang Lang kemudiannya mengaju persoalan kedua. Iman menggeleng.
“Kenapa Abang Lang?” Iman tertanya-tanya. Begitu berminat ingin tahu.
“Kita disunatkan makan terlebih dahulu sebelum keluar sebagai tanda bersegera mentaati perintah Allah s.w.t. Juga untuk mengelakkan tanggapan adanya tambahan dalam berpuasa. Allah kan melarang sama sekali kita berpuasa pada hari raya?”
“Ohhh..macam tue ya?” Iman mengangguk-angguk lagi. Iman buka peti ais. Iman ambil tiga biji kurma, kemudian telan perlahan-lahan.
“Kakak, jomla makan kurma. Kita ikut cara Rasulullah!.” Kakak buka mulut luas-luas, kemudiannya Iman suap Kakak dengan penuh hati-hati. Tiba-tiba saja, Kakak cium pipi kanan Iman.
“Terima kasih sayang! Pandai adik Kakak. Dah, pergi mandi cepat! Kak Ngah dah habis tue..”
“Ok bos!”
Iman tidak lupa pesanan Ummie. Berniat sebelum mandi juga merupakan sunnah di pagi raya. Iman menyarung baju barunya. Iman nampak comel. Abang Lang nampak tampan. Kakak nampak cantik. Kak Ngah nampak ayu. Ummie nampak lawa. Walid nampak bergaya. Semuanya nampak indah-indah belaka. Reseptor bau Iman tiba-tiba menangkap bau yang sangat wangi.
“wanginyaaaa Abang Lang! Kalah Iman tau!”
“eh..mestilaa.. Perfume One Drop kot! hehe. mahal tau.”
“elehh..mahal ke? ataupun curi-curi pakai yang Walid punya?”
“mana Iman tau nie? eh, Walid yang bagi ok!”
“oleh sebab Abang Lang ikut sunnah Rasulullah dengan pakai wangi-wangian, jadi Iman percaya!”
“oho..subhanallah, bagusnya adik abang! nanti abang bagi duit raya lebih..”
bersambung..
kita memuji, alam berdoa!
September 6, 2009 at 11:39 am | In Tazkirah | 2 Comments
Allahu Rabbi-In-Team
“Bulan dan bintang hiasi alam
Tiada kan bercahaya tanpa izinNya
Terangnya siang berganti malam
Tiada sekali menyalahi aturannya
Maha Kuasa Tuhan yang menciptakannya
Helaian dedaunan gugur dari pepohonan
Pasti dalam pemerhatian kudratnya Tuhan
Butiran pasir di daratan dan di dasar lautan
Tetap dalam pandangan iradat Tuhan..”
“Observe nature and say Subhanallah! Each flowe or tree or leaf that you look and praise Allah (say SUBHANALLAH), on the day of judgement that flower/tree/leaf will speak in your favor and say this human looked at me and praise You!”- [copy from an articel by CAMPRO VOICE/IIUM]
teguhkan tugu yakinmu!
August 31, 2009 at 7:59 am | In Tazkirah | Leave a Comment
Ramadhan ke 10. Borang mutaba’ah makin berisi walaupun ada juga lompang sana sini. Ada cacat, tidak penuh. Masa yang aku rasa tidak digunakan sebaik-baiknya. Muhasabah lagi. Namun, jelas sekali pemantauan sebegini, walaupun mungkin sesetengah orang berpendapat tidak wajar, pada aku sangat berkesan. Mampu mengghairahkan semangat apabila melihat catatan sendiri ada cacat celanya. Mampu mengembalikan kekuatan apabila tersedar aku banyak membuang masa. Mampu mentarbiyah diri, agar lebih kuat dan gigih mengejar ibadah yang pahalanya diganjarkan beratus-ratus, berlipat ganda oleh Allah s.w.t.
“Setiap amal anak Adam dilipatgandakan kebaikan 10 kali lipat sampai 700 lipat. Allah Ta’ala berfirman: “kecuali PUASA kerana ia untukKu, dan aku akan mengganjarkannya.”
Masih berkesempatan kepada mereka untuk segera menambah amal. Borang mutaba’ah ada disediakan. Print, dan silalah tampal pada dashboard, pintu bilik, loker, study table, diari dan sebagainya. Moga-moga mampu menyusun amal ibadah kita agar lebih sistematik, tambah-tambah di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Bersendiri, banyak menghitung amal. Banyak merenung keburukan dan kejahilan diri. Banyak bermuhasabah. Banyak berfikir. Banyak bermonolog. Soal keyakinan.
i. Keyakinan pada Allah.
ii. Keyakinan pada diri.
Ramai orang yang mengaku, meyakini Allah s.w.t. dengan seyakin-yakinnya. Namun, perilaku dan amal sama sekali menyimpang daripada keyakinan yang disebut-sebutkanya.
1. Yakin bahawa adanya syurga Allah, maka kita akan berusaha melipatgandakan amal, berusaha menghindarkan diri dari dosa, berusaha menghadiri majlis-majlis ilmu, berusaha mengejar cinta Allah..Banyak ayat-ayat Al-Quran yang memperihalkan tentang keindahan syurga Allah. Ya Allah, Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah yang menjadikan syurga seindah-indahnya.
2. Yakin bahawa adanya kematian, maka diri tidak akan putus-putus berdoa untuk bertemu Dia dalam keadaan baik yang diredhaiNya, memohon kesempatan untuk berbuat amal kebajikan, memohon peluang untuk menebus segala dosa besar kecil, sengaja atau tidak disengajakan, bersegera dalam amal dan ibadah. Ingin sekali mati kerana diri begitu meyakini, mati itu sangat-sangat indah apabila Dia meredhai diri, dan kita meredhaiNya. Tiadalah dapat kematian seindah itu, melainkan dengan rahmat dan kasih Allah! Oh, indahnya..bahagianya dicintai Kekasih agung! Subhanallah.
3. Yakin bahawa Allah itu Maha Kuasa. Allah itu Maha Penyayang. Maha Pengasih. Maha segala-galanya. Maka, dengan keyakinan seteguh itu, kita akan mengharungi setiap ujian, bala, dugaan, dengan sepenuh-penuh redha dan tawakal. Jarang mengeluh, dan tetap istiqamah menjalankan perintahNya. Yakin bahawa ujian itu indah, yakin bahawa dugaan itu tanda kasihNya yang sangat mendalam, maka kita akan tetap tersenyum riang menghadapi hari-hari seterusnya. Tersenyum dalam tabah! Indahnya menjadi hamba Allah! Sangat-sangat indah, kerana Dia sungguh Maha Penyayang.. Dengan meyakini bahawa setiap ujian ada hikmahnya, dengan meyakini bahawa setiap ujian ada sebab musababnya, yakin bahawa dia sebaik-baik perancang, maka segalanya jadi mudah! Ah..indahnya!!!
4. Yakin bahawa jodoh di tangan Allah, maka hati tidak gelisah. Hati tidak berprasangka. Malah, kita akan lebih gigih menjaga diri sebaik mungkin. Tidak berusah payah tercari-cari. Tidak bersusah payah chop sana, chop sini. Keyakinan bahawa jodoh dari Allah itu lebih baik, sebaik-baiknya, maka kita akan lebih gigih mengejar cinta Allah. Meyakini bahawa Dia akan memberikan sesuatu yang baik HANYA dengan diri dan peribadi yang baik, maka kita akan berusaha menjadi sebaik-baik mungkin. Percaya pada dia, yakin dengan dia, walau jodoh itu lewat tiba, walau dia entah ke mana-mana, entah siapa, entah ada entah tidak, tiada menjadi masalah. Hakikatnya, segala yang Allah rancang itu, yakinlah, itulah yang terbaik! Hati akan tenang setenang-tenangnya.
5. Yakin Allah Maha Mendengar, yakin Allah akan memakbulkan doa, maka diri akan lebih gigih berdoa sepenuh perasaan, sepenuh hati, merayu dan meminta, dan berserah diri bulat-bulat hanya pada Dia. Tiada lagi gusar, tiada lagi bimbang, tiada lagi ragu-ragu kerana segalanya telah diserahkan kepada Allah, dengan diringi usaha yang berterusan. Yakinlah..yakinlah..yakinlah dengan Dia!
5. Yakin bahawa segalanya yang datang daripada Allah, tiadalah yang buruk melainkan kebaikan semata-mata, selagi diri mentaati perintah dan menjauhi laranganNya.
Keyakinan ini kadangkala rapuh. Kadangkala teguh. Teguhkan keyakinan aku lagi, Ya Allah.. hingga tiada lagi kegusaran yang bertamu di hati. Yakinlah, yakinlah, yakinlah sahabat-sahabatku! :)
indahnya menjadi MUSLIMAH!
August 28, 2009 at 6:39 pm | In Tazkirah | Leave a Comment
Peringatan saat aku lupa. Lupa pada cita-cita. Lupa pada tanggungjawab. Lupa pada nafsu yang sentiasa mengajak, lupa pada iman yang menderita terseksa. Nasihatmu menyedarkan diri, memberikan inspirasi baru. Sebagaimana aku telah “disedarkan”, titipan ini kupanjangkan, moga bakal juga “menyedarkan” yang lain, agar kita sama-sama “tersedar”, dan “terjaga” dari lena. Ya Allah, moga kita sama-sama terus terpelihara dalam jagaanNya. Amin.
“Seronoknya menjadi muslimah. Di saat anak gadis lain sibuk meneliti REMAJA, produk terbaru Maybelin, album terbaru student AF, seorang muslimah sibuk membaca Al-Islam, berusaha memujuk diri daripada membazir dan hatinya asyik beristighfar tatkala membuka tv dan terpandang iklan-iklan yang mengotorkan hatinya.
Masa gadis-gadis lain dimain-mainkan dgn sms kawan-kawan lelaki, tengok love movie.
Masa seorang muslimah dimain-mainkan dengan terlajak masa yang dijadualkan ketika menulis karya-karya dakwah, asyik menonton Sang Murabbi berulang-ulang. Seorang muslimah itu berkeadaan sedar, masa yang telah disalahguna.
Seronoknya menjadi pelajar muslimah. Assignment dan study diusahakan sehabis baik. Kala futur dan resah dipanjatkan pada Ilahi. Dia akan meratap tak henti-henti pada Kekasihnya dan air mata itu penghibur duka. Seronoknya menjdi pelajar muslimah, ijazah itu dihadiahkan buat agama. Ilmu itu ditimba tak mengira.
Seronoknya menjadi mujahidah itu, sentiasa sedar Allah bersama. Sentiasa rasa kurangnya diri, dan berkeazaman yang tinggi untuk sentiasa memperbaiki diri. Seronoknya menjadi mujahidah itu, sahabat karib mahupun kawan biasa diraii, Sentiasa berusaha menjadi sosok daie sejati.
Seronoknya menjadi anak gadis yang solehah itu berusaha meringankan beban orang tua tanpa diminta. Kurang meminta-minta, ingin selalu memberi. Seronoknya menjadi anak gadis yang solehah itu kerana selalu diiring redha, tabah tak kira apa.
Seronoknya menjadi muslimah itu, sentiasa menanti cinta dalam diam. Disimpan rapi jauh-jauh dilubuk hati. Dialah pencinta yang setia. Dia memilih calon suami lewat dalam doa dan ukurannya bukan model-model di majalah. Idolanya bonda As-Syafie. Gigih mempersiapkan diri sejak zaman gadisnya demi memastikan zuriat yang bakal dilahirkan menjadi mujahid membela agama. Seorang muslimah itu multi-talent. Baik di dalam mahupun di luar rumah tangkas bergerak. Penuh stamina. Demi memastikan diri tetap fit di saat-saat genting apabila tiba waktu kehamilan mahupun ketika menyusukan anak.
Mujahidah itu sentiasa rindukan kerehatan di syurga….”
sahabat
Ramadhan Kareem
:`(
azam lama dan baru
August 21, 2009 at 9:02 pm | In Tazkirah | 3 Comments
Matahari menyerakkan cahayanya. Simbahan cahaya terkena pada wajah. Cahaya pagi dhuha yang sangat tenang. Tidak hairanlah kita memang digalakkan untuk mentadabbur ayat-ayat Al-Quran saat-saat ini. Ternyata, sangat berhasil apabila dihayati dengan sebetul-sebetulnya. Hati yang tidak menangis pun boleh menangis. Jiwa yang keras pun boleh jadi lembut. Dari sudut bilik, awan putih kebiruan yang cerah kelihatan. Bukit kelihatan berbalam-balam, berlapis-lapis dan di lapisan paling hujung, tumbuhan-tumbuhan hijau itu kelihatan pudar sekali warnanya. Macam ada kabus-kabus putih. Subhanallah, nikmat Tuhan yang mana satukah kamu dustakan? Sungguh dan sangat-sangat tenang! Saya sungguh suka.
Hari berganti hari. Beberapa hari telah berlalu, lagi 6 hari Ramadhan bakal tiba. Entah apa persediaan agaknya ya? Senang sekali membaca coretan puteri baru-baru ini. Dia menyuntik semangat baru. Kita berkongsi kekuatan, moga-moga Ramadhan kali ini, Ramadhan terbaik yang pernah dilalui berbanding yang sebelum-sebelum ini. Berkali-kali berazam, adakala kerana tiada kesungguhan yang kuat, tidak punya kemantapan dan kekuatan, boleh jadi istiqamah itu sekerat jalan. Ya Allah, tolonglah! Betul-betul mahu kali ini menjadi.
Sekurang-kurangnya, perbaiki dan perbaharui azam yang lama. Tambahkan sedikit azam yang baru. Sekurang-kurangnya, dengan niat dan azam yang baik ini, walaupun belum tentu hasilnya, moga-moga ada ganjaran pahala di sisiNya, insyaALLAH. Amin.
- 1. Tilawah Al-Quran ( 1 juzuk sehari)- terpulanglah pada yang nak tambahkan lagi. lagi banyak, lagi bagus.
- 2. Qiyam tiap-tiap hari.
- 3. Sedekah/Infaq : RM 0.50/RM 1.00 sehari.
- 4. Solat Sunat Terawih tiap-tiap hari penuh!
- 5. Kurangkan tidur.
- 6. Banyakkan senyum walaupun letih.
- 7. Sedaya upaya menjaga hati, mata dan yang sewaktu dengannya.
- 8. Menjaga perkara-perkara rukun, sunat dan makruh puasa dengan baik. [seelok-eloknya dah bersedia dari sekarang]. :D
- 9. dan lain-lain lagi..
- ……
Moga-moga madrasah Ramadhan mampu dan dapat mentarbiyah diri untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Ya Allah, kuatkanlah kami semua. Amin. Bak kata Ustaz Emran, sama-sama menggemukkan pahala, bukan menggemukkan badan. :)
Ada hadiah untuk semua. Kita sama-sama update,topup AMAL IBADAH dengan borang pemantauan ini. Nak download? Klik sini.
Salam Juang. Wallahhua’lam.
p/s: coretan beberapa hari lalu. baru boleh post. huhu. laptop bermasalah! :D
refleks skrin hidup
August 6, 2009 at 6:03 am | In Tazkirah | 4 CommentsRefleks Skrin Hidup

Pahit maung hidup itu bukti kasih dan cinta Pencipta pada manusia. Rindu pada pujuk rayu tangis hamba pagi-pagi sunyi. Petang-petang sibuk bertugas, mencari rezeki, belajar, kadang-kadang waktu yang dirasakan sangat padat itu, menyempitkan hubungan manusia dengan Pencipta, menjadikan kita manusia mudah lupa pada Dia, Yang Maha Berkuasa.
Sejenak lapangkan diri untuk bermuhasabah. Tarik nafas dalam-dalam, buka hati seluasnya, terangkan minda selapang-lapangnya. Tayangkan kembali peristiwa-peristiwa dalam pawagam minda. Pancarkan pada skrin akal, dan tontonlah dan rasakanlah dengan hati sepenuhnya. Fikirkan Dia. Hubungkan Dia dengan masa-masa lalu yang ditinggalkan. Ambil masa walau sejenak. Renungkan masa-masa lalu. Renungkan saat dan ketika masa itu dihabiskan, saya jadi ralit seketika. Boleh jadi air mata meluncur, kerana kecurangan diri pada Dia yang Maha Mencintai. Saya tumpahkan kasih dan cinta pada manusia, tetapi lupa pada siapa yang melebarkan rahmat, dan menghadiahkan perasaan-perasaan manis dan indah itu! Betapa masa yang ada, betapa tugas yang ada, betapa perjalanan siang hari yang memenatkan, meletihkan, menjadikan hati kita sama kelam kabut. Tidak sempat berfikir tentangNya walau sesaat. “Ya Allah, tidak bersyukurnya aku sebagai hamba!”
Cinta menjadikan kita hamba pelupa sedangkan ia nikmat yang tidak terkira daripada Pencipta. Tugas menjadikan kita leka, sedangkan tugas-tugas di dunia hanyalah cabang daripada tugas yang paling besar yakni, mentaati Allah dan beribadah sepenuhnya kepada Dia. Solat yang sepatutnya menjadi ikatan paling utama antara hamba dan Pencipta, kadangkala terusik khusyuknya lantaran hati ini setia pada yang bukan sepatutnya. Sedar tidak sedar, rupa-rupanya saya kini di tahiyat akhir, penghujung solat! Lantas akal kembali merenung, “ke mana hilangnya nikmat solat? ke mana perginya ketenangan dalam solat? di mana spiritual yang aku peroleh dalam solat-solat lalu?” Pergi. Jauh. Kerana hati tidak dibawa bersama-sama dalam solat, hanya jasad merebahkan diri, hanya anggota menyembah Dia. Rupanya hati tidak. Mudahnya saya terleka, mudahnya kita terlupa!
Mudahnya syaitan menipu. Senangnya nafsu mengawal. 24 jam yang ada, hanya berapakah untukMu kupertaruhkan, ya Allah? Hati terusik lagi. Kejamnya diri. Betapa Allah menyayangi hamba-hambaNya, walaupun kita sekadar hamba. Namun, hamba seakan berpaling, cuba meruntuhkan ikatan cinta antara hamba dan “Tuannya”. Tidak bersyukur. Tenggelam dalam rukuk, rebah dalam sujud.
Hamba:
“Ya Allah, sungguh sukar rasanya menanam cintaMu di hati lantaran ada cinta-cinta lain yang kadangkala mendahului. Betapa berdosanya diri, kerana cintaMu kucemari. Ketahuilah bahawa hati ini, jasad ini, roh ini, tubuh ini, segala-galanya yang ada pada diri, tiadalah milikku, melainkan sepenuhnya hanyalah dan sememangnya milikMu. Aku sentiasa mengharapkan kewujudanMu di hati, biarpun kadangkala diri mengingkari. Ya Allah, berikanlah aku sepenuh tenaga, kudrat, untuk aku membuahkan amal, agar cinta-cinta lain di belakang, cintaMu yang paling di hadapan. Engkau lebih mengetahui hakikat hati, biarpun jenuh kata-kata diluah. Engkau lebih mengetahui status hati, biarpun kadangkala jauh aku pergi. Sayup-sayup rindu benar rasanya ingin berada dalam pelukan rahmatMu, kasihMu, cintaMu, yang kupaling harapkan hanyalah pertemuan yang diredhai, kematian dalam iman dan ketaatan kepadaMu, juga menikmati keindahan syurga bersama mereka yang turut sama mencintaiMu.”
Allah:
Allah telah berfirman : “Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi Engkau di atas dosa yang ada pada engkau, dan Aku tiada peduli. Hai anak Adam, kalau telah sampai sekalian dosa engkau ke awan langit kemudian itu engkau memohon keampunanKu, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai anak Adam, sesungguhnya kalau Engkau datang kepadaKu, dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi ini, kemudian itu engkau menemui Aku, padahal tiada Engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi.”- (hadis ke 42- dalam himpunan hadis 40)
Hamba:
[menangis tersedu-sedu]. Pergilah wahai hati busuk, hati kotor. Kembalilah wahai hati yang mencintai Allah, kembalilah!
islah diri, seru mereka!
July 24, 2009 at 3:42 am | In Tazkirah | 2 Comments

Assalamu’alaikum wrt.
Wahai hati yang berjiwa pemimpin,
Semangat kentalmu kukagumi, luar dan dalam. Aku nampak semangatmu, dari butir-butir keringat yang tidak pernah hilang. Aku kagumi jiwamu yang sungguh mencintai gerak kerja ini. Aku menyenangi pengorbanan jiwa dan raga dan bersusah payah. Aku nampak raut-raut dan jiwa-jiwa yang letih, namun tetap keras dan tersenyum menjalankan tugas dan amanah. Sungguh aku kagumi kerana aku pastinya lemah tanpa ada semangat-semangat jitu seperti itu. Sungguh aku kagumi kerana aku sendiri masih belum punya semangat sejauh dan setinggi itu!
Wahai jiwa-jiwa yang bersemangat,
Namun, dalam kesibukan kita mengejar matlamat, ada satu matlamat yang kita sering terlupa. Dalam berkorban, bersusah payah dan letih, ada satu perkara yang sering kita abaikan. Dalam semangat yang menyala-nyala, ada sesuatu yang sering kita tertinggal. Matlamat dan niat kerana Allah. Diriku hanya percaya pada satu formula. Niat yang baik pastinya akan mencerminkan gerak kerja yang baik. Gerak kerja yang baik dinilai berdasarkan dari kesempurnaan dan cara pelaksanaan yang baik. Gerak kerja yang baik pasti menuju ke arah matlamat yang terbaik. Kita terlampau mengejar matlamat yang sementara, dan jelas di depan mata, tanpa menghiraukan matlamat yang satu ini; kerana ALLAH.
Wahai hati-hati pencinta kebenaran, wahai jiwa-jiwa yang dulunya suci,
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan semata-mata hanya untuk beribadah kepadaKu.” (Al-Zariyat: 56)
Hidup ini hanya keranaNya. Sebagai khalifah, yang bersungguh-sungguh menyebarkan agamaNya seluas-luasnya. Sebagai umat, yang sering bergerak bersama Rasulullah, menyebarkan dakwahnya. Sebagai suami, isteri, ayah, ibu, kakak, abang dan adik yang sama-sama berpesan-pesan dengan kesabaran dan kebenaran. Sebagai saudara, sahabat dan kekasih yang sangat mencintai saudaranya, dan sama-sama mengislahkan diri serta menyeru orang lain. Sebagai pemimpin kepada diri sendiri untuk selalu muhasabah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Ini bukan tugas orang lain, tetapi tugas kita. Kerja ini bukan tersandar pada bahu ustaz atau ustazah, alim ulama’, pemimpin-pemimpin hebat, atau orang yang mempelajari bidang agama sahaja. Kita semua, yang mengaku Muslim berperanan sebagai pemimpin. Bukan terhala kepada yang bertudung labuh sahaja, atau yang berkopiah,dan bersongkok tetapi kita semua. Usah dikira pandangan manusia. Tiada perbezaan antara kita, kerana tempat pandangan Allah itu jatuhnya hanya pada hati. TAQWA yang membezakan kita semua, bukan pada ukuran saiz tudung, atau petahnya dia berkata-kata tentang agama! Tidak! Tidak sama sekali! Hanya Allah yang Mengetahui segala-galanya. Hanya Allah jugalah yang selayaknya menghakimi kita. Menilai hati kita. Kita semua.
“Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada tubuh dan bentuk kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu.” -Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.
Wahai diri yang kadangkala qowiy, kadangkala futur,
Kita bermonolong sendiri. Rasa lemah tidak berdaya. Rasa rendah diri, putus asa dan kecewa. Kadang-kadang had mungkin terbatas. Ilmu mungkin dirasakan tidak sempurna. Tiada keberanian untuk meluahkan dengan kata-kata. Tidak mampu untuk berbicara lantang memperbetulkan umat manusia. Cukuplah sekadar sama-sama memperbaiki diri. Itu cukup memadai. Belajar, belajar dan belajar. Kesedaran inilah yang akan membantu ke arah pembentukan ISLAM sebagaimana ISLAM pernah tertegak dahulu kala. Inilah matlamat asal kita iaitu menegakkan kalimah Lailahaillallah walaupun ada matlamat-matlamat kecil yang lain. Namun, kadang-kadang kita sering terlupa. Niat tersasar.
Kita hebat dalam merancang. Hebat dalam merencana. Namun, Allah sebaik-baik perancang. Kita mengaku percaya pada Dia, yakin dan percaya pada ayat-ayatNya. Segala yang kita inginkan, matlamat atau hadaf yang kita ingin capai dalam sesuatu perkara, pasti berhasil selagi mana kita jelas dengan matlamat asal dan bertindak serta berperanan sebagai hamba kepada Al-Khalik.
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” –(Muhammad: 7)
Wahai manusia, pencinta Allah dan RasulNya,
“Kebaikan itu ialah elok budi pekerti. Dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya.” Riwayat Muslim
“Kebaikan itu dalam ketenteraman, dan kejahatan itu dalam keraguan.”- Abu Al-Darda’
Kegelisahan itu bertamu sekali sekala menggoncang iman. Iman berkali-kali menafikan. Aku merasai kegelisahan yang nyata. Matlamat bukan lagi keranaNya, tetapi kerana dunia. Kita merencana hanya untuk dunia. Kita ingin cuba mengubah manusia, ingin cuba mengubah mereka, tetapi diri sendiri masih belum bergerak ke arus perubahan. “Mungkinkah hati yang gelap, akan mencerahkan hati-hati gelap yang lain? Mungkinkah matlamat yang dekat itu tercapai, andai matlamat yang besar tidak dipenuhi? Mungkinkah kita mampu untuk mengubah selagimana kita tidak berubah? Apakah kita akan puas hati dengan segala rancangan yang telah dicipta?” Nah, inilah! Inilah yang kita seharusnya sedar, kerana setiap perbuatan sememangnya bermula dengan niat, matlamat jelas, berserta cara dan pelaksaan yang baik. Maka, segala-galanya akan berjalan dengan baik. Kita pasti berpuas hati. Percayalah!
Aku, kamu, tidak lagi seperti dulu ketika mula-mula disinar cahaya iman. Kita berubah dalam usia ini ditindas masa. Kita bebas bergaul, bergurau senda, ketawa bertukar cerita. Seronok dan leka. Mungkin terjerumus ke arah cinta. Ini memang biasa. Lelaki hilang kepimpinannya, perempuan hilang malunya. Ikhwah bergembira, akhowat bersuka ria. Oh, hati kita! Gelisah tidak terkira, iman merana. Syaitan seronok, menyanyi dan berdansa.
Kegelisahan di hati kerana dosa itu kian hilang dari dalam diri kerana maksiat mengaburi pandangan hati. Kegelisahan yang seharusnya dirasai kerana dosa dan noda tertutup kerana kotornya hati. Hidayah Allah sukar sekali ditembus.
Kita seolah saling menjaga, hakikatnya tidak sama sekali. Kita kelihatan seperti mengikut syariat dan tuntutan Islam, tetapi praktikalnya tidak sama sekali. Aku bukan seorang yang jumud, bukan juga terlalu terbuka. Aku hanya mempercayai nikmat mempraktik ISLAM itu terlalu indah. Sungguh indah jalanNya. Menjaga dan memelihara. Lelaki gagah perkasa, perempuan lembut tersimpan rahsianya. Unik. Sungguh, benar-benar indah. Hukum hakam ISLAM itu jelas sekali banyak hikmahnya.
Namun, sesekali apabila mata memandang, dan hati merasa, tersedar hakikat sebenarnya kita makin ampuh dan leka. Mereka makin rancak merancang propaganda. Kita sememangnya tidak dinafikan hebat dalam berjuang di jalan Allah, hebat di medan perang kerana kita sememangnya berjuang untuk MATI dan bergelar SYAHID. Sama ada menang atau syahid, itulah harapan dan matlamat kita. Namun, golongan kuffar sememangnya berjuang untuk MENANG atau HIDUP di muka bumi. Moto peperangan dan matlamat perjuangan inilah yang seringkali meniup semangat para mujahidin. Akhirnya, kita seringkali menang di medan perang.
Maka, mereka merencana sesuatu. Biar kita leka dengan dunia. Biar waktu terus di sia-sia. Biar kita alpa dengan cinta. Biar kita berhibur tidak terkira. Biar ibadah tidak terjaga. Biar maksiat merata-rata. Maka, makin hari hati makin kotor. Ibadah makin hilang serinya. Iman makin jatuh peratusannya. Saat itu, apakah kita akan punya lagi semangat untuk berjuang? Saat itulah kekalahan pastinya bermula. Kita kalah dalam senyap, kerana strategi ghozwah fikriyyah mereka!
Wahai mujahid mujahidah harapan,
Kita MUSLIM punya adab dan etika. Kita golongan berpendidikan agama punya tanggungjawab meluruskan yang bengkok. Pemimpin punya jelas tugas sebagai pemimpin.Pemimpin beriman yang hakikatnya dipilih Allah sebagai asbab untuk mengimplemantasikan hukum hakam ISLAM dalam setiap gerak geri anak-anak buahnya. Namun, andai hati ini makin kelam, makin gelap, makin kotor kerana maksiat tanpa sedar, kerana pergaulan tidak dijaga, kerana hati makin binasa, bagaimana mungkin umat akan terbela? Bagaimana hati yang kotor mampu menyucikan hati-hati kotor yang lain? Mampukah kita menjadi pendidik yang terbaik?
Sejenak mengimbas sejarah Rasulullah. Sejenak merasai perjuangan sahabat. Al-Badar menyaksikan 313 tentera Islam, mengalahkan 1000 tentera kuffar. Perjuangan jihad akhirnya menuntut kemenangan besar. Bukan kerana sasanya tubuh, atau hebatnya perkakas peperangan tetapi kerana taqwa dan keimanan yang tinggi. Ibadah yang terjaga, dan hati yang bersih dari maksiat. Itulah jihad di zaman Rasulullah.
“Lebih berwaspada dengan maksiat sebenarnya lebih baik daripada berhati-hati terhadap musuh. Dosa adalah lebih aku takuti daripada musuh”- Saidina Umar r.a
Wahai roh-roh yang pernah mengikat janji,
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan Adam dari sulbi mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.” – (Al-A’raf 172)
Saban hari, berkali-kali dalam sehari kita mengaku sepenuh ketaatan. Berulang kali kita mengujar kalimah syahadatain. Namun, berkali-kali ia disebut, sejauh manakah ia telah sampai ke hati? Sejauh manakah bicara lisan itu telah mencetuskan tindak tanduk dan perlakuan sebagai hamba? Sejauh manakah kita telah melaksanakan apa yang telah dijanjikan?
Kerana cinta kepada Allah, kerana kasih pada Rasulullah, perjuangan harus diteruskan, menegakkan kembali apa yang telah musnah. Kerana kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan kita yang bergerak sebagai Ansorullah, siapa lagi? Maka, semuanya bermula dari hati.
“Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rusak, maka rusaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu ialah hati.” –Sahih Bukhari & Muslim
“Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (lebih dahulu) hatinya.”
Ayuh bersihkan hati, jagalah hati dengan membaca dan mentadabbur Al-Quran, lazimi hari-hari dengan penghulu istighfar. Perbanyakkan solat sunat taubat dan zikrullah, agar tompok-tompok hitam dihati makin hilang. Muhasabah diri, periksalah kesempurnaan ibadah. Maka, mudahlah penyaluran hidayah Allah. Aku ingin sekali jiwa kita sama-sama bersih. Maka, akan beres segala urusan-urusan yang lain.
“Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cerminnya, kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu, sebab ia lebih dahulu melihatnya. Tetapi ia telah sekali berdosa, Allah campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Kalau ia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu. Andai kata ia kembali berbuat dosa, dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan itu hingga sekalian bahagian hatinya menjadi hitam belaka. Waktu itu maka tidaklah berguna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”- Ibrahim b. Adham
Sedetik merasai manisnya hidup bersama Allah, tahulah kita bagaimana peritnya berpisah denganNya. Ibadah yang baik, pastinya akan meningkatkan peratusan iman. Seterusnya, “iman” inilah yang akan berperanan sebagai perisai menggetarkan hati tatkala melakukan dosa, lebih hebat daripada getaran hati ketika mencintai dan memandang kekasih yang dicintai!
Aku menulis kerana cinta. Kasih kerana kita bersaudara. Kita diikat satu ikatan kukuh, yakni ikatan akidah. Cinta berpadu kukuh, kerana kita sama-sama memegang jawatan hamba. Tiada jarak pemisah antara kita melainkan nilai iman dan taqwa. Kata-kata ini sekadar pencetus rasa, pengubat gelisah, penghilang resah. Aku ingin sekali kita sama-sama berhijrah, moga-moga rahmat Allah bersama sentiasa, dan kita akhirnya akan bertemu di Syurga. Tidak sanggup memandang saudaraku hanyut dibuai dunia, leka tidak mengenal kasihNya. Sungguh, dan benar-benar, hati ini perit melihat “derita” dalam bahagia sementara. Kerana aku juga manusia biasa, perlu pencetus semangat, pendorong jiwa, untuk aku kuat dan teguh di jalanNya. Kuatkanlah aku, dengan hijrahmu. Teguhkanlah diriku dengan semangat hijrahmu. Sama-samalah muhasabah diri, sama-samalah memperbaiki diri untuk kita jadi penggerak dan pemimpin mithali.
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiayai dirinya, kemudia ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa’: 101)
“Dari Anas R.A katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Allah telah berfirman : Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli. Hai Anak Adam! Kalau telah sampai sekalian dosa engkau ke awan langit kemudian itu engkau memohon keampunanKu, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai Anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepdaKu dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi (ini) kemudian itu engkau menemui Aku pada hal tiada engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi.” – Riwayat At-Tarmizi.
Kitalah pemimpin pada masa akan datang. Salam juang kerana Allah. Sekian.
“Tegakkanlah ISLAM dalam dirimu, nescaya akan tertegak ISLAM di tempatmu.”
“Di tangan pemuda ISLAM terletak nasib umat dan dalam keberanian para pemuda ISLAM terletak kehidupan dan masa depan sebuah negara ISLAM.”
Wallahhua’lam.
Hamba Allah
1 Syaaban 1430 Hijrah.
Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.


