aku ingin kamu. hanya kamu.

December 21, 2009 at 6:57 pm | In Soal Hati | Leave a Comment

Salam.

Kerana rasa cinta aku padanya, kekalkanlah aku dalam pesona wanita Muslimah. Anggun bukan pada mata yang memandang, tetapi pada hati yang sungguh-sungguh ditatang! Luruskan hati dan jiwa ini, hanya pada satu kuasa yang Maha Agung.

Pesona dan keasyikan dunia kadangkala merembat rasa MALU dalam diri. Keanggunan yang kau telah titipkan buat kami wahai Rabb, kadangkala pesonanya pudar sedikit demi sedikit. Makin berani bertentang mata dengan makhlukmu, Adam. Makin berani bersuara, berkata-kata manja. Makin berani menghulurkan salam dan bergurau senda. Makin berani mencoretkan kata “sayang”, “rindu”, “kasih” bukan pada yang selayaknya. Kekasih hati sebelum akad terlafaz. Sungguh kejam diri kami wahai Rabb Yang Agung. Kau telah titipkan rasa malu, dengan sepenuh-penuh cinta, dan diletakkan rasa paling bahagia itu di tempat yang paling sempurna, di hati-hati kami. Kau hiaskan dengan lemah lembut, kesopanan dan kesusilaan, kau berikan kami kedudukan yang tertinggi. Lalu, kenapa rasa malu itu makin lama makin menghilang dari dalam diri?

Susuk tubuh yang menawan. Pesona anggun yang aku rasa sungguh memikat hati sesiapa saja yang memandang. Senyum tawa, mata bundar, bibir merekah, rambut halus panjang memikat, suara halus bak buluh perindu. Segala-galanya Kau hadiahkan dengan percuma, untuk dijaga dan dibelai sebaik-baiknya. Hadiah buat kami, hadiah buat insan yang selayak-layaknya dipertontonkan. Lalu, hanya kerana hadiah yang paling utama (malu) tadi telah mengikis sedikit demi sedikit, hancurlah pesonanya. Tersingkaplah pesona pada mata-mata yang tidak layak untuk memandang! Terurailah segala kecantikan pada mata-mata yang haram melihatnya! Sekali lagi, kejamnya kita, makhluk bernama wanita! Anugerah dipersia, hilanglah segala!

Ya! Separuh daripada kita, tutup segalanya. Ayu bertudung labuh litup, cantik dipandang mata. Paling anggun, paling menawan yang aku kira pada dua biji mata yang terpapar jelas. Tetap anggun bergaya ditutupi niqab! Namun, kita dengan rela hati mempertonton dengan sesuka hati pada laman-laman sosial, pada blog peribadi dan sebagainya. Andai Rasulullah itu malunya melebihi anak dara sunti yang berselindung di balik tirai, andai anak perempuan Nabi Syuaib yang berjalan penuh malu menutupi wajahnya ketika menghadap Musa a.s, di manakah agaknya kedudukan diri ini dan seluruh kaumku? Ternyata, malu itu sedikit demi sedikit telah terhakis. Berlarilah kau kembali, menghuni hati ini!

Berjalan penuh cinta, kelibat kita aku nampak jelas walau dalam samar. Kita anggun lagi. Tetap juara jika dibandingkan dengan mana-mana makhluk atas muka bumi. Kita tetap menjuarai tangga pertama. Mata kita. Suara kita. Hati kita. Lenggok kita. Segala-galanya, pasti bisa memukau makhluk dunia. Jika si Adam yang bernyawa telah tertambat pada jiwa kita, hati kita, pesona kita, apatah lagi makhluk bisu atau makhluk tanpa akal? Namun, lantaran malu yang makin lama makin menjauh dari diri, adakala kita bebas menghambur tawa, menjerit sesuka hati, mengilai pada setiap detik dan ketika! Sekali lagi, terserlahlah, tersingkaplah pesona itu dengan percuma! Sekali lagi, wahai malu, hadiah dari Pencipta, kembalilah menghuni hati ini, dalam diri ini lalu suburlah membajai fitrah seorang wanita!

Aku hanya ingin kamu. Hanya kamu. Kamu yang akan melindungi diriku dari cinta dunia. Kamu yang akan melindungi mataku dari memandang sesuatu yang haram bagiku memandangnya. Kamu yang akan menjaga telinga ini dari keasyikan dunia yang melampau. Kamu yang akan bimbing kaki ini, tangan ini, jasad ini untuk terus bergerak menuju jalan Ilahi. Kamu yang akan menjaga akal ini daripada membuahkan angan-angan palsu. Kamu yang akan menetapkan hati ini, menjaga hati ini, memelihara hati ini untuk aku kekal sebagai seorang muslimah terpelihara.

Andai aku perlu jadi bisu, bisukanlah aku dari kata-kata yang tidak menyenangkan. Andai aku perlu bisu, bisukanlah aku dari kata-kata emosi yang bisa menyentuh perasaan. Andai aku perlu pekak, pekakkanlah telinga ini dari mana-mana sumber ketidaktenangan hati! Andai aku perlu buta, butakanlah aku segera dari segala punca aku berangan-angan, lelah, putus asa, dan segala-gala maksiat di dunia! Buangkanlah segala nama-nama makhluk yang boleh buat hadiahMu hilang dari diriku!

Maafkan aku wahai malu. Kembalilah dirimu dalam diriku. Bersatulah kembali dengan jasad dan nurani ini, agar jasad ini kekal terpelihara. Agar pesona aku sebagai wanita Muslimah kekal. Agar mampu rasa malu itu diwariskan pada generasi-generasi akan datang. Agar mampu diri membuahkan cinta dan dihadiahkan pada yang selayak-layaknya.

Pedih dan sakit ya Allah! Pabila larian aku makin jauh dari hakikat fitrahku sebagai seorang wanita, lubuk jiwa dan dalam-dalam hati ini sangat sakit. Aku hilang segalanya tanpa sedar. Aku hilang ketenangan yang aku selalu damba-dambakan. Jiwa aku jadi keliru, tidak menentu. Hidup aku seperti sesuatu yang kalau ditelan, ia jadi racun lalu menjadi punca aku maut. Kalau tidak dimakan, nescaya aku mati kelaparan.

Biarpun kau telah pergi sedikit demi sedikit, ketahuilah wahai malu, aku memerlukanmu setiap detik untuk aku terus bernafas dengan jiwa Muslimah! Aku ingin kamu. Hanya kamu.

Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Amin.

hamba yang penuh mengharap,

umairahshafei

duapuluhsatudisemberduaribusembilan

enamlimapuluhlimaminitpetang

mahallahsumaiyyahgombakuniversitiislamantarabangsamalaysia

p/s: gambar di atas dicuri dari “klinik fotografi kompas” kalau tak silap. kalau nak tau, boleh google. kemudiannya diedit sesuai dengan citarasa sendiri.

dunia baru

December 20, 2009 at 8:37 am | In Motivasi | 1 Comment

 H.O.P.E. is a wonderful thing, something to be cherished and nurtured. And something that will refresh us in return. And it can be found in each of us, and it can bring light into the darkest of places. *saya pencuri quote terhebat. tapi, saya tak ingat saya curi kat mana. harap maklum.

*saya juga penulis entri. tapi, bukan terhebat. begini bunyinya entri saya:

salam.

mahu hidup dalam keadaan yang sangat bersederhana. hujung desa, tepi sawah. paling penting, bukan dalam hiruk-pikuk kota. walau kota megah berdiri, ada bangunan tinggi-tinggi. ada cahaya sinar gemilang pada waktu malam, namun ia banjir dengan pejalan-pejalan kaki tegar. sibuk membeli-belah biarpun telah sampai seruan solat Jumaat. aku rimas!

cukup pakai, makan dan minum. tak perlu mewah-mewah, asalkan ada penambahan ilmu dari hari ke hari. segar dalam biah solehah. dalam taman sesegar itu, ada anak-anak yatim mewarnai hidup. mereka hidup dengan cinta. ada anak terbuang, tanpa ayah atau ibu. mereka diajar hakikat hidup. mereka diajar erti memberi maaf. hati mereka ditiup kasih sayang yang paling bersih biarpun kelahiran mereka tidak sebersih yang diharap-harapkan. ada anak tidak sempurna. mereka diajar rasa berguna pada diri, pada bangsa. mereka semua diajar mengenal Tuhan.

ada anak-anak manusia. ramai! bermula dari tak kenal Alif Ba’ dan Ta’ sehinggalah lancar melantunkan ayat-ayat Al-Quran. menghafal, membaca, dan mengamalkannya dalam kehidupan dari hari ke hari. minggu ke minggu. tahun ke tahun. hinggalah bertemu ajal.

kadangkala, kita hanya fikir mahu hebat-hebat. mahu jadi penterjemah handal, menggali lubang wang ringgit! mahu jadi penulis terkemuka, mampu mencetak beberapa buku Best-Seller! mahu jadi engineer, mahu jadi doktor, mahu jadi macam-macam lagi. mahu punya wang sendiri, mahu punya jawatan dan pangkat. jadi, awal-awal lagi kita pulun untuk sampai ke tahap itu. tangga kejayaan yang telah kita set, dan bersungguh-sungguh mendapatkannya.

paling tidak, masih asyik dalam kepompong cinta. berangan-angan punya suami atau isteri soleh dan solehah. mewatakkan diri masing-masing sebagai Asiah Yusro, Khazinatul Asrar, Umar Mujahid atau Al-Bana dalam novel Tautan Hati hasil karya Fatimah Syarha Noordin. paling mantap, melayakkan diri ke tahap Fahri atau Aisya dalam novel Ayat-Ayat Cinta hasil tulisan Habiburrahman El-Shirazy. mungkin juga meletakkan diri pada tempat Azzam ataupun Anna Althafunnisa dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.

cinta. fesyen. filem. sukan. dan segala-galanya.

kita lupa pada jiwa-jiwa masa depan yang dahagakan ilmu. kita lupa pada jasad-jasad masa depan yang perlu pentarbiyahan yang sangat tinggi dan mencabar. kita lupa pada anak-anak kecil yang perlu bimbingan dan tunjuk ajar. yalah..kalau kita tak korek ilmu dari sekarang, agak-agak akan tercapaikah impian mereka untuk memperoleh ilmu? kita ada ilmu sekarang, kerana orang dulu-dulu sibuk mencari ilmu. kita masih punya ke’izzahan agama Islam kerana generasi zaman dulu bersusah payah berkorban segalanya demi masa ini. zaman ini. saat ini. kita? masa depan?

asyik dan leka dalam dunia sendiri, tanpa kenal masalah ummah yang kian membunuh. ralit dengan kemalasan, tanpa mahu cari ilmu walau sedikitpun. selalu dan sibuk memberi alasan!

B-U-S-Y. [B]eing [U]nder [S]yaitan [Y]oke! [curi dari mana ntah. tak ingat.]

kalau bukan kitalah penggerak, siapa lagi? dan kalaulah bukan sekarang, bila lagi?

*tercetusnya ilham ini saat aku terpandang seorang budak di Mydin, Pudu hari Jumaat lepas. tercetusnya fikrah ini saat aku meneliti bacaan beberapa orang adik mengaji di Al-Ansor semalam. dan..aku rasa kelu saja. aku tak reti nak buat apa. tak tahu nak guna pendekatan bagaimana? hermm.. “belajar” sajalah jawabnya! takkan nak suruh ustaz ustazah yang ajar kita dulu, ajar jugak masa depan nanti?

*tulis untuk memotivasikan diri.

status I : belajarlah diriku. belajar bukan sekadar pergi balik ke kelas, bukan sekadar duduk dalam majlis-majlis ilmu.  ”setiap orang ada kemampuan tersendiri, yang harus digunakan kemampuan tersebut untuk bangunkan ummah. bila masing-masing menyumbang tenaga, pasti terbinanya satu mujtama’ muslim.” itu saja! titik.

status II: saya ada satu cita-cita besar. [besar ke? ntahlah. agak kot.] bila dah tercapainya cita-cita itu, saya akan paparkan di sini, satu hari nanti. [itupun kalau blog ini masih wujud.] smile! :)

wassalam.

hilang

December 19, 2009 at 12:08 pm | In Soal Hati | 2 Comments

Salam.

Pernah tak tiba-tiba ada sesuatu telah hilang dalam diri? Kita solat, tapi tak terasa khusyuk. Yalah, memanglah kita takkan pernah khusyuk sebagaimana Abbad bin Bisyr. Busur panah hinggap pada tubuh juga masih meneruskan bacaan solatnya. Kali ketiga, barulah terasa lembik lalu rebah. Cuma, kekhusyukan yang biasanya dirasakan adakalanya hilang walaupun berkali-kali dicuba.

Pernah tak tiba-tiba rasa hati kosong? Kita ke halaqah. Kita ke majlis ilmu. Kita ke masjid. Kita membaca Al-Quran. Tapi, perasaan yang diharap-harapkan muncul itu sekali sekala saja hadir, lalu berlalu pergi. Datang lagi, kemudian pergi lagi. Datang lagi, kemudian pergi lagi. Tak pernah tetap. Perasaan itu pernah ada dalam diri buat sekian lama, dan terasa kuat bila ia ada. Tapi sekarang, dia hanya singgah sekejap.

Pernah tak rasa semangat ini dalam diri? Tapi, semangat itu bukan datangnya dari sebenar-benar hati. Semangat itu ada, tapi hanya pada jasad. Tidak pada hati. Kita buat sesuatu, tapi kita tidak merasakan kenikmatan melakukan kebaikan tersebut.

Pernah tak rasa ragu-ragu? Rasa tidak tenang. Tetapi, tak tahu apakah punca sang hati tidak tenang? Tentu kau lebih tahu, dosa itu menimbulkan keraguan pada hati. Pahala itu menimbulkan ketenangan pada jiwa.

*Selama beberapa hari, aku menulis. Ya, aku menulis. Menulis! Aku menulis, tetapi bukan dengan sebenar-benar hati. Aku menulis hanya sekadar terasa ingin menulis.

status: taknak buat apa-apa. taknak study. takmau buat assignment. hanya ingin mencari kembali hati yang telah hilang. Al-Ansor, sambutlah kedatanganku. temukanlah aku dengan apa yang aku cari.

12.05 p.m/19 Disember 2009

wassalam.

Bang Mut dan tarbiyah

December 18, 2009 at 8:35 am | In Soal Hati | Leave a Comment

Bang Mut tak bangun lagi. Cuma ada Papa dan Mama dia saja yang tengah keluar cari makan. Biasanya, awal-awal pagi lagi dah bertahajud. Kemudian, dalam pukul 8 pagi macam tue, waktu aku tengah sibuk-sibuk nak bersarapan, mulalah mereka berjoging bersama-sama. Agaknya, sambil berjoging tue, sambillah jugak mata meliar sana-sini, jeling-jeling dan pandang-pandang, kalau-kalau ada sisa gula tertumpah. Oh, bijak ye dia! Aku lagi bijak. Heh. :P 

Tapi, hari nie macam sepi saja. Mungkin tidur balik lepas solat Subuh berjemaah tadi kot. Yalah, cuti-cuti hujung minggu nie. Agak-agak, Bang Mut pun tak ada kelas hari Jumaat kot. Sibuk saja nak susun study plan macam aku.  Dasar peniru! Nampaknya, Papa dan Mama dia dah mula tercium sesuatu. Nampaknya, dah makin dekat dengan gelas aku nie. Oh, dah makin rapat! Herm..kan dah terlanggar dinding gelas?! Apa-apa jelah.

Taklah manis sangat pun air tue. Tapi, mungkin sebab madu lebah yang menjadikan air suam itu jadi manis. Keluarga Mut-Mut nie, pantang dengan perkataan manis. Tambah-tambahlah benda-benda yang sememangnya manis. Lagi-lagi, madu! Sebenar-benarnya kan, madu tue aku bawak dari short sem hari tue. Ha, faham-fahamlah kan, betapa malasnya aku nak makan benda-benda alah yang macam tue! Tau saja benda-benda berguna macam tue menjadikan otak cerdas, tubuh cergas. Tapi, entahlah. Samalah jugak dengan berbotol-botol ubat yang tak termakan. Sekarang, baru nak berazam balik. Eceh! Target tahun baru: Cuba-cubalah jadi Muslimah Power atau Super Woman sekali sekala selalu-selalu! Penting jaga kesihatan nieh. Apa guna listkan muwassofat tarbiyah kalau tak praktik? Salah satu daripadanya ialah, Qowiyal Jism- kuat tubuh badan! Macam orang yang tampal ayat kursi kat dinding rumah, tapi tak pernah amalkan. Silap-silap, kalau hantu [jin/syaitan] kacau, akan diejek-ejeknya kita balik! Kan? Hermm..

Teringat kata-kata Kak An, dalam halaqoh lepas. Dia tanya, apa sebenarnya yang kita bawak? Dan apa sebenarnya yang membezakan kita dengan orang lain? Semua orang diam. Termasuklah aku. Tapi, dalam hati macam biasalah, terus saja bagi jawapan yang pelbagai. Prepare siap-siap kalau-kalau tiba-tiba Kak An tanya. He. He. He. Tapi, orang lain yang kena jawab hari tue. Pusing punya pusing, Kak An kemudiannya bagi jawapan. Bezanya kita dengan orang lain ialah, “kita bawak imej seorang yang ditarbiyah. kita adalah golongan yang ditarbiyah.”

Zupp! Ada sedikit terasanya. Sejujur-jujurnya, tak pernah pun aku terfikir macam tue. Nampak benda tue, alah macam simple-mimple saja! Tapi, tiba-tiba saja ada rasa getaran dalam hati. Tarbiyah akan mencetak kita sebagai manusia yang benar-benar manusia. Manusia yang berstatus hamba. Tarbiyah bukan sekadar halaqoh yang selalu orang salah faham. Tarbiyah bukan sekadar ta’alim yang bila kita ada masa kita pergi, dan bila kita sibuk kita tinggalkan. Tarbiyah bukan sekadar ukhwah fillah sesama saudara Muslim. Tarbiyah ialah sesuatu yang lebih dari itu!

Dulu, aku selalu keliru. Aku keliru dengan apa yang aku nak, apa aku harap, apa yang aku perlu dan sebagainya. Dari sekolah lagi benda-benda nie selalu saja bermain-main di fikiran. Yang aku faham, aku hanya perlu usrah, baiki diri dan cuba jadi manusia paling baik. Praktik amalan-amalan sunat, dekatkan diri dengan Allah. Dan..itu dah cukup!

Masa makin terus berjalan, aku temukan sesuatu yang sangatlah luar biasa. Aku temukan perkataan tarbiyah, tapi aku tak faham, kenapa orang sibuk-sibuk dengan tarbiyah? Muwassofat tarbiyah? Jalan tarbiyah? Manhaj tarbiyah? Apa tue? Curiousity dalam diri menjadi-jadi. Aku temukan macam-macam pendekatan. Macam-macam teknik. Macam-macam! Dan..aku tetap juga manusia yang keliru. Dannnnn..itulah! Haaaaa..itulah!

Bilamana kita inginkan sesuatu kebaikan dalam diri, nescaya Allah akan permudahkan jalan menujuNya. Dia bagi kita beribu-ribu jalan untuk kita rentas satu persatu, agar kita tahu nikmatnya hikmah sebuah perjalanan. Teruslah berharap, dan rentaslah apa saja jalan yang bawa dirimu ke arahNya! Aku bercakap sebagai seorang pengembara, yang masih juga mengembara untuk aku nilai hikmah-hikmah perjalanan seterusnya.

Aku sendiri tak dapat nak gambarkan tarbiyah itu macam apa. Bagaimana rasanya? Subjektif sungguh! Unik dan sangatlah berseni. Tiada perkataan yang dapat menggambarkannya. Tiada bicara yang akan membuatkan seseorang faham tentangnya melainkan terjun dan merelakan dirinya ditarbiyah.

Aku baca buku-buku untuk mencari makna tarbiyah. Ya, aku dapat sesuatu!  Aku dapat hanyalah satu benda fakta yang menghuraikan definisi tarbiyah! Aku mesej orang-orang berkenaan untuk tahu apa itu tarbiyah? Ya, aku dapat sesuatu! Aku dapat hanyalah pendekatan dan jalan-jalan tarbiyah. Hinggalah akhirnya, dia bersuara. Aku menangis tanpa henti.

“…umairah, masuk dan selamilah apa itu erti tarbiyah dan tabir itu akan terbuka sedikit demi sedikit. lebih lama kita dalam tarbiyah ini, lebih lagi jelas tujuan hidup kita. sukar untuk diriku menerangkan kalau diri kita belum lalui dan merasakan nikmatnya..”

Tapi, prosesnya teramatlah panjang. Perlu kesabaran yang tinggi, perlu komitmen dan pengorbanan. Masa, tenaga, harta benda, jiwa dan sebagainya! Apa yang dapat dikatakan di sini ialah, “bukalah hatimu seluasnya untuk tarbiyah. nescaya, perlahan-lahan kau akan rasa nikmatnya tarbiyah. pahit itu pasti ada, namun segala kepahitan itu akan sembuh dengan peredaran masa dan ketika.”

Tapi itulah kan, susahnya nak istiqamah! Tambah-tambah manusia yang susah sungguh nak hadam kalimah “disiplin” dalam diri nieh. Takpalah. Pelan-pelan. Allah tak pandang natijah. Dia pandang usaha. Jadi, cuba-cubalah usaha. Tak rugi pun kalau kalah banyak kali. Dapat pahala lagi tue! Makin susah sesuatu kebaikan yang kita nak istiqamah buat, makin banyak ganjarannya di sisi Allah. Allah bukan tengok sebanyak mana amalan kita, tapi Dia tengok sejauh mana TERbaiknya amalan kita.

“yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya.” Al-Mulk: 2

Hermm..alamak! Kan dah panjang? Sebenarnya tadi, tak terfikir pun nak tulis benda-benda nie. Nak cerita pasal Bang Mut tue je. Tapi, alang-alang, teruskan sajalah. Aku suka dengan pendirian Kak Saliza dalam halaqoh minggu lepas. Dia kata,  “Hati akan mendokong akal untuk membangunkan ummah. Bukan sekadar menerima, tetapi turut memberi.”

“Andai aku merasakan betapa indahnya ditarbiyah, aku juga ingin semua orang merasakan nikmatnya jalan tarbiyah!” Cukuplah sebaris ayat ini menggambarkan tentang segalanya.

Bang Mut dah terjaga. Lepas dia gosok gigi, aku mahu bersarapan dengannya.

Selamat tinggal ErtiHijrah.Wp! Wassalam.

p/s: sekali lagi, aku menulis tanpa henti kemudian post tanpa edit sedikitpun. terlalu banyaklah kesalahan dari segi nahu mahupun sorof. maaf ye!

 

hijrah demi cinta

December 17, 2009 at 8:30 pm | In Soal Hati | Leave a Comment

“Cinta itu adalah kekuatan yang mampu mengubah diri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur, mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang, mengubah syaitan jadi nabi, mengubah iblis jadi malaikat, mengubah sakit jadi sihat, mengubah bakhil jadi dermawan, mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana, mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi muhibbah.” –Ayyatul Husna [Ketika Cinta Bertasbih I]

Manusia akan berhijrah disebabkan CINTA. Manusia juga akan berhijrah demi mendapatkan CINTA.

Andai saja aku dapat jaga hati ini setiap detik dan ketika. Pada selang masa rapuh atau tak berdaya, pada waktu susah atau derita. Sesungguhnya ternyatalah bahawa aku memang seorang manusia pelupa. Terhitung nikmat pada saat gembira, namun ada masa kembali menderhaka. Cintakah engkau pada Tuhanmu wahai seorang pengembara?

Tak terdaya aku melawan kata hati sendiri. Tangis berterusan mengujar segalanya. Andai mampu aku lupa hakikat dunia walau sedetik cuma, cukuplah itu memang satu kebahagiaan yang sangat luar biasa. Tuhanku, siang aku alpa, malam aku asyik terlena. Berselang-seli, aku jatuh kemudian bangkit. Aku terlupa kemudian terjaga. Maksiat dan dosa berulang-ulang saban hari dan ketika. Megah, mudah lelah, cinta manusia dan segala-galanya tentang dunia! Payah sungguh rasanya! Sangatlah payah!

Kuatkanlah diri ini pada jalanMu. Tetapkan diri ini untuk terus berada atas jalan tarbiyah. Jalan Rasulullah, jalan para sahabiah. Bila-bila masa, mudah saja aku rasa hilang semangat. Bila-bila masa akan aku rasa mahu keluar secara tiba-tiba. Bila masa-masa akan aku rasa kecewa dan putus asa. Bila-bila masa saja aku akan rasa tak perlu apa-apa, dan rasa diri langsung tak berguna!

Aku ingin terus berpegang pada kata-kata Imam Ibnu Al-Jauzi: “Jangan sekali-kali engkau menganggap jalan [merubah diri menjadi lebih baik] itu mudah.” Jalan itu ternyata dipenuhi sesuatu yang aku benci, banyak halangan, penuh duri-duri tajam yang akan buat aku berterusan sakit!

“Jika seorang hamba di pagi dan petang hari, tidak mempunyai keinginan apapun kecuali Allah s.w.t. semata, maka Allah akan memikul seluruh keinginannya. Allah akan memberikan semua yang menjadi keinginannya. Mengosongkan hatinya untuk cinta padaNya. Menjadikan lisannya berzikir kepadaNya. Menjadikan semua anggota tubuhnya memenuhi ketaatan padaNya..” –Ibnu Qayyim.

Ajarkanlah aku untuk selalu mencintaiMu! Tunjukkanlah aku sebenar-benarnya cara mencintaiMu! Aku hanya ingin tetap juga merangkak, berjalan, dan kalau mampu berlari menuju peribadi seorang Hamba Rabbani. Ingin aku berhijrah demi sebuah cinta!

Salam Ma’al Hijrah 1431 H.

1 Muharram 1431 H/17 Disember 2009

bila aku jadi makcik

December 16, 2009 at 7:23 am | In Soal Hati | 8 Comments

 Bila aku jadi Makcik yang Suka Membebel. Nah, lengkap satu entri!

Subhanallah!

Aku suka sungguh la subjek nie. Critical and Creative Thinking (CCT) . Duduk dalam kelas nie, otak aku berfikir sepanjang masa. Tapi, bila Madam tanya, tunduk pulak takmau jawab. Bila Madam suruh angkat tangan, “Little Voice Messaging System” dalam kepala cepat-cepat hantar mesej, “Isk..tak payahla..tak payah. Betul ke kau jawab nanti?” Memang takdak ciri Muslimah Power atau Super Woman la. Harmm..

Bukan sikit soalan Madam, banyak tau! Cubalah bayangkan banyak mana soalan Madam, kalau dah memang salah satu syarat dalam kelas beliau adalah “PARTICIPATE”. Sah-sahlah banyak soalannya. Kan?

Aku pun tak faham. Tapi, fikir-fikir dan renung-renung balik mungkin subjek ini banyak bawa kepada fitrah sebenar seorang manusia kot. Aku suka sungguh dengan subjek-subjek yang bawa kepada fitrah dan mengenali diri sendiri nie. Best! Rasa-rasanya, bukan aku seorang yang termasuk dalam kategori nature lover nie. Mesti ramai lagi, sebabnya, percaya atau tidak kita memang akan gembira apabila berbalik kepada fitrah. Itu yang pertama: Gembira kalau patah balik kepada fitrah.

Macam subjek “Introduction to Psychology” dulu, pun macam tue jugak; berbalik kepada fitrah. Tapi, belajar CCT nie, lebih relaks sikit. Ikut suka hati kitalah nak fikir macam mana. Kalau Psych, lebih kepada fakta, kajian, teori, atau hipotesis. Mana boleh ikut kepala otak aku nak redah sesuka hati. Kalau CCT, letaklah jawapan kita macam mana pun. Itulah cara kita berfikir. He. He. He. Masalah yang satu, cara penyelesaiaannya banyak, bukan satu! Itulah KREATIF namanya. Kan? Macam kreatifnya manusia yang sibuk-sibuk menjual mask waktu H1N1 sedang merebak serata alam. Bukan RM 1, RM 2 tau! Kalau fikir-fikir balik, memang kreatif kan penjual-penjual nie? Hermm..  Itu yang kedua: Tak bergantung pada fakta semata-mata.

Subjek ini sesuai untuk orang-orang yang suka menggoreng. Oh, aku sungguh tidak suka pada mengolah facts dan mengelola maths! Tapi, sungguh-sungguh kagum pada orang-orang yang pakar dalam dua bidang itu.

Erm, berbalik kepada subjek CCT tadi, aku banyak belajar. Lalu, aku membuat kesimpulan bahawa, “Learning itu memang sangat best”. Macam “Kejayaan itu adalah Subjektif” sebagaimana yang pernah aku sebut-sebutkan dulu. Tak kisahlah kalau kita ada kelemahan, kesilapan, kekalahan, atau kegagalan. Nak taknak, tanpa kita sedar atau tak sedar, dalam diam atau tak diam, sebenarnya dalam “kekalahan, kegagalan, kesilapan, kelemahan” itu ada satu benda yang sangat luar biasa. Kita hanya nampak pada satu titik negatif iaitu kegagalan, berbanding banyak benda positif yang kita dah dapat dari kegagalan tersebut. Ops, bukan KITA la. Tapi, AKU. Heh. :)

Contohnya macam semalam. Al-Kisah..

“Fikir-fikir nak ambik kunci ka tak payah? Dah lambat nie. Ustaz macam tak datang je. Takpa, kami sama-sama ambik jelah. Sekurang-kurangnya nanti, kalau Ustaz dah sampai, tak payah sibuk-sibuk nak ambik kunci lab, terus saja boleh start kelas. Tak buang masa. Jimat sikit. Kelas-kelas sebelum nie, waktu semester lepas memang kena ready sebelum lecturer sampai. Tapi, disebabkan minggu ini boleh dikatakan minggu awal memandangkan semester baru bermula, jadi macam agak kekok sikit. Yalah, lain ustaz lain fe’elnya. Manalah tau, Ustaz nie lain sikit keee..

Dah ambik kunci. Bukak pintu lab, dan semua boleh masuk. Herm, tunggu punya tunggu. Call dah, mesej Ustaz pun dah. Tapi, tak sampai-sampai jugak. Tup..Tup, Ustaz reply mesej. Class postponed. Ustaz ada urgent meeting.”

Maka, Little Voice Messaging System tadi macam biasalah, hantar mesej lagi. “Itulah..suka hati sangat. Penat je ambik kunci. Kalau tau, tak payah ambik pun takpa.”

Tapi, kalau renung-renung dan fikir-fikir,

1. “Apa salahnya ambik kunci? Bukan salah besar pun! Rasa-rasanya memang patut pun.”

2. “You are learning what? Tahu tempat ambik kunci kat mana, dah tahu nombor telefon ustaz nak dapatkan kat mana, tahu nak buat apa kalau tiba-tiba jadi perkara yang sama lagi, tahu cara nak “mesej” dengan Ustaz dengan cara yang betul macam mana..”

Suka sungguh buat negative judgement pada diri sendiri. Suka sungguh bulatkan kata dengan negative conclusion pada diri sendiri. Dan sekarang.. aku boleh kata: “Arhhhh..buang self-doubt. Wahai cik L.V.M.S, suka hati aku la nak buat apa! Learning Itu Best!” :)

Itu salah satu contoh kisah. Banyak lagi yang berlaku dalam masa sehari kalau malam-malam sebelum tidur kita suka bermuhabasah. Kalau setiap perkara yang berlaku di sekeliling, kita cari dan korek ‘ibrohnya. Betul, tak tipu! Walaupun hanya sekadar memandang seorang ibu sedang mengendong anak kat belakang pun, ada ‘ibrohnya! Walaupun sekadar memandang sekilas satu saff solat Zohor berjemaah di masjid pun ada pengajarannya!

Dan atas sebab itulah agaknya, kenapa Allah suruh kita renung dan lihat pada alam yang terbentang luas? Ada langit yang tak pernah goyah tanpa tiang. Ada cahaya pada pagi hari, ada cahaya pada malam hari yang tak pernah tertukar ataupun tersalah. Ada burung yang boleh terbang dengan sayap, ada burung yang tak boleh terbang walau ada sayap. Unik bukan? Ada manik-manik hujan yang menuruni kaca jendela, lalu berkumpul pada satu titik! Seni! Sungguh seni. Ada kepulan-kepulan awan putih kebiruan yang sungguh indah dipandang mata. Ada kabus-kabus tebal pagi hari yang aduh.. khusyuk sungguh mata memandangnya! Ada daun-daun kecil meliuk kanan dan kiri, semuanya walaupun sekecil zarah pasti diketahuiNya.

Subhanallah!

Status I: dont let other people control yourself even your personal little voice messaging system in your mind. aku sedang mencuba dan akan terus mencuba.

Status II: let others learning from you. let yourself learning from others. tak kisahlah manusia, objek, atau apa-apa saja yang ada dalam alam nie.

Status III : salam rindu buat family tercinta. akak rindu la. wahai keluargaku, titipkanlah aku setitis air mata cinta, rindu dan kasih juga selaut kiriman doa bahagia selamanya! [ciplak ayat dalam filem Ketika Cinta Bertasbih sikit-sikit.] haha! skrip dia memang mantap lah. subhanallah, best!

p/s: maaflah, banyak kesalahan tatabahasa. aku menulis saja tanpa henti sebab rasa nak menulis begitu. lalu terus post tanpa edit walaupun satu tanda noktah. ada sedikit “kemalasan”. mohon sejuta “kemaafan”.

aku hanya mahu aman

December 15, 2009 at 12:07 am | In Soal Hati | Leave a Comment

i love dandilion very much! i love the kids too. :)

barulah rasa tenang sedikit hati yang berombak. kalau tidak, nafas ini rasa tercungap-cungap. lelah. itulah sajalah kan caranya? kalau Allah dah tetapkan begitu, maka begitulah! buat apa susah-susah nak cari cara lain? sebab dalam hati manusia, memang ada fitrah percaya pada Tuhan. mencari Dia susah atau senang!

senang, bersyukur pada Dia. susah, cari Dia. sedih, mengadu pada Dia. inginkan sesuatu, minta pada Dia. bertaubat pada Dia. sembah Dia. sayang Dia. cinta Dia. segala-galanya Dia. sebab tak ikut fitrah yang satu inilah, ramai orang menyimpang jauh. minum arak, berjudi, terjebak dengan dadah, pil khayal, zina, tapi akhirnya langsung tak dapat ketenangan. lalu mati katak. sebab apa? sebab ambil langkah yang kononnya mudah; terjun bangunan, terjun laut, minum racun, gantung diri dan macam-macam lagi. na’udzubillahhiminzalik.

minda ini terisi sedikit. hati yang kosong ini sekurang-kurangnya dah diberi makan. roh dan semangat yang baru disuntik. “berpenat lelah” selama 3 hari 2 malam di Mukhayyam Dakhili (Indoor Camping) yang lalu ada kesan pada jiwa.

barulah tersedar dengan lebih “kesedaran”, yang aku ini sememangnya sangat-sangat lemah. aku punya masalah dalaman yang bukan sedikit lukanya, tetapi parah! lenguh-lenguh kaki waktu dengar ceramah, mengantuk waktu dengar kuliah, hilang fokus pada slot-slot tazkirah! berangan, termenung jauh, berfikir yang bukan-bukan waktu slot muhasabah.

kalau muhasabah dalam-dalam balik, TAK ADA sebab lain tue! punca dalaman tak kuat. hati aku berkarat. fizikal aku lembik. otot aku tak bersemangat. darah aku tak lancar. sebab apa aku kata macam nie? sebab kekuatan fizikal bergantung pada kekuatan dalaman! andai yang dalam ini terisi dengan penuh pengisian jiwa hingga melimpah-limpah, roh dan semangat dari qiyam yang bersungguh-sungguh, ilmu ukhrawi yang penuh di dada, maka tak mustahil fizikal aku ini akan bertambah kuat! cergas. sihat.

sebab tuelah jugak kenapa  Ustaz Yasir yang mengajar subjek Sorf Al-‘Arabi (Arabic Morphology) pernah cakap, “berpenat-penatlah. barulah kita akan kuat.” beliau jugak pernah tanya, “kenapa biasanya pekebun-pekebun punya hati yang luar biasa atau bersih?” “sebab mereka berpenat lelah!”

sebab tuelah jugak kenapa Qiyamullail diwajibkan kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat pada awal-awal kedatangan Islam? kenapa diwajibkan pada ketika orang Islam masih sangat-sangat sedikit?” tiada sebab lain, sebab qiyam (bangun @ menghidupkan malam) itu akan menguatkan roh yakni bahagian dalam! hati. rohani. jiwa. sukma.  kekuatan dalaman itulah yang akan menguatkan fizikal! darah akan mengalir pantas, bersemangat! otot tidak lembik. tidak rapuh. tidak ampuh. sahabat-sahabat Rasulullah hebat. generasi suatu ketika dahulu hebat. kuantiti mereka bukan penentu kejayaan. mereka punya kualiti ibadah yang sangat luar biasa.

renung-renung dan fikir-fikir. aku hanya mahu hidup dalam keadaan AMAN DAMAI. aman yang tidak terlepas daripada dosa. aman yang tidak lari daripada kesilapan. aman yang tidak berlanggar dengan apa yang telah ditetapkan dan ditakdirkan. aman sebagai seorang manusia. sebagai seorang hamba! bukan AMAN yang tidak payah buat apa-apa. bukan AMAN yang tidak perlu fikir apa-apa. bukan AMAN yang duduk rehat bersahaja! tidak! tidak! bukan macam tue.

AMAN pada aku. bagi aku ialah: kalau aku jauh menyimpang, Dia tarik aku kembali di jalanNya. itulah AMAN bagiku. kalau aku tersasar, Dia tunjukkan aku kembali jalan yang seharusnya aku ikut. itulah AMAN bagiku. kalau aku terlalai, Dia bukakan aku jalanNya biar aku tersedar kembali. itulah AMAN bagiku. kalau aku terleka dengan nikmat dunia, Dia ingatkan kembali tujuan aku hidup di muka bumi. itulah AMAN bagiku. kalau aku berdosa, Dia masih pandang dan cintakan aku, beri peluang untuk aku sentiasa berusaha mengingatiNya. itulah AMAN bagiku.

aku hanya nak Dia, meskipun aku tak mampu lagi mendidik hati ini mencintai Dia sepenuh hati. sepenuh jiwa. sepenuh raga. aku nak Dia saja ada dalam hati ini, biarpun aku masih lemah dan sering terlupa.

“ya Allah, pimpinlah aku ke arahMu..” hanya itu yang terluah. pilu. dan… sangat sedih!

status 1: azam lepas mukhayyam baru-baru nie: paling penting, nak jadi lebih baik. nak sangat-sangat. dan banyak lagi azam-azam lain yang tak perlulah disenaraikan di sini. dan yang kedua penting, nak sangat-sangat “sahabat setia yang sedia bagi umy kongsi air mineral dia sepanjang mukhayyam tue”, teman umy lagi ke daurah, ta’lim, mukhayyam dan program-program tarbiyah yang lain pada masa-masa akan datang. kuatkan umy kalu tiba-tiba umy jadi malas nak pegi daurah. dan ada lagi nama sahabat-sahabat yang SENTIASA tersemat di hati ini, tersenarai kukuh satu-persatu! semuanya! cukuplah aku bisikkan dalam doa berserta harapan yang tidak putus-putus, “kita akan berjumpa kelak satu hari nanti. itu pasti. aku sangat percaya, dan akan terus tetap percaya!” biarkanlah aku dengan kepercayaan ini biarpun apa saja natijahnya. amin ya Rabb. :)

status 2: happy anniversary ummie dan waled. moga kekal bahagia, bertemu di dunia dalam redha, berkasih sayang sampai ke syurga. akak bangga ada ummie yang macam ummie. akak bangga ada waled yang macam waled. cukuplah kebahagiaan ini, akak takmau apa-apa lagi. sangat-sangat bersyukur. itu sahaja. titik!

berambus kau “mental-block”!

December 10, 2009 at 6:39 am | In Motivasi | 15 Comments

Berhadapan dengan kenyataan, ternyata itu bukan kau. Paling tidak, kau mencoretnya pada dinding akal, kau menyimpan pada dasar hati, tetapi sekadar menyimpan untuk dipadam pada esok hari. Berlalu begitu sahaja, tanpa sebarang perubahan. Menyumpah diri sendiri, mengecam diri sendiri, meletakkan segala yang negatif pada diri. Menyalahkan diri sendiri , hingga adakalanya keyakinan jatuh pada tahap 0.01%! Pesimis. Kau yang buat diri kau macam boneka, untuk diperkotak-katikkan, untuk dihunjam!  Oh, plasTIK! SarkasTIK! Terlalu! Batang hidung juga perlu dilasTIK!

Hijrah perlu ada sebab khusus. Hijrah perlu ada peluang. Hijrah perlu ada proses. Hijrah perlu ada matlamat. Matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang.

Kau pun tak faham dengan diri sendiri kan? Makin menginjak hari baru, makin ada “satu rasa” yang kau pun tak tahu nak diskripsi macam apa, macam mana, atau sebab apa. Ada pergolakan dalam diri, ada suara yang bertalu-talu, ada kelemahan yang cuba-cuba diatasi dengan sedikit kekuatan, ada jiwa hambar yang sedaya upaya diatasi dengan sedikit semangat. Ada julangan takut-takut, yang cuba-cuba dipadam dengan setitis berani. Bukan sekaligus, tetapi sedikit demi sedikit. “Are you changing? Or is this the real you?” Persoalan ini tak habis-habis bermain di kotak minda, tetapi setiap kali sampai kepada titik hujung, jawapannya hanya satu: “you are what you are.” Entahlah, hanya kau la yang faham!

Kau tak perlu conteng azam yang besar-besar. Cukuplah yang kecil-kecil. Azam-azam yang kecil ini ada jasnaya pada azam-azam besar yang pernah kau tatap, baca, dan faham suatu ketika dahulu. Cukuplah sekadar melunaskan azam-azam tahun-tahun lepas. Cukuplah berhajat pada keberhasilan yang maksimum, walaupun azam-azam itu sekadar yang minimum-minimum sahaja.

Azam tak perlu pada anjakan tahun baru. Tahun baru hanya sekadar momentum atau tanda aras untuk menentukan tercapainya azam-azam yang lepas, ataupun sebagai sumbu untuk menyalakan semangat agar lebih “baru”.

Cukuplah, hari-hari baru yang bakal kau lalui dijadikan sebagai penentu, sama ada baikkah kau hari ini? Atau semalamkah lebih baik? Atau kau punya azamkah untuk menjadikan esok lebih baik? Sematkan segala kelemahan yang nampak pada diri, tulis dan catat untuk kau diperingatkan selalu, muhasabah, serta cuba atau usaha untuk ubah sedikit demi sedikit. Aku tak kata ubah pada kau, tapi aku kata cuba atau usaha ubah!

09 Disember 2009 :

  • masalah : bercakap dengan sangat laju. orang tak faham. macam mana nak jadi pemimpin yang hebat?
  • solusi: bla.bla.bla

10 Disember 2009 :

  • masalah: stamina tak kuat. cepat letih. kurang senyum.
  • solusi: rajinkan diri makan supplement.

11 Disember 2009 :

  • masalah : tak baca news langsung. tak tahu satu benda pun pasal dunia Islam!
  • solusi: bincang dengan kawan-kawan. wajibkan akhbar Islami setiap hari. bla.bla.bla.

12 Disember 2009:

  • berangan lebih. mathurat tak baca.
  • solusi: jadual mutabaah. bla.bla.bla.

Sangatlah susah untuk berdepan dengan kelemahan sendiri dan mengoreksi peribadi. Tetapi, segala kelemahan inilah, segala masalah inilah dapat dijadikan sebagai peluang untuk menjadikan diri lebih cemerlang. Sekalipun tidak cemerlang pada segenap bidang, cukuplah kau tahu pada diri kau ada satu usaha untuk bergerak ke arah satu tangga kejayaan! Kejayaan membina peribadi. Kejayaan membina diri seperti yang kau mahu. “Kejayaan” yang bersifat subjektif yang kau cuba dapatkan! Kejayaan pada nilai mata yang kau sendiri tentukan.

Kehidupan itu sekolah. Kaulah gurunya, dan kaulah pelajarnya. Hari-hari yang berlalu adalah silibus. Usahamu adalah peratusan carry mark. Kau tetap akan berjaya, jika kau benar-benar berjaya! Kau juga akan berjaya walaupun gagal setelah mencuba!

Status I: alhamdulillah. yey! berjaya melepasi satu daripada berjuta-juta jenis “mental block”!

Status II: selamat hari lahir WAN NOR FARAHIN BT. WAN MOHD. GHAZALI [10 Disember 2009]. welcome to the club “orang-orang baru 20 tahun”! [eceh, siap ade kelab-kelab bagai. macam mati itu ikut umur aje kan umy nieh?! haisyy..] farah, learning itu best!

“kopi tuh walaupun pahit, tapi nikmat ape?”

December 9, 2009 at 7:52 pm | In Motivasi | 2 Comments

“Follow your plan. Follow your heart”.

Kita takkan selalunya mencipta nama pada perkataan “kejayaan”. Kejayaan itu subjektif. Seorang yang pesimis dan berusaha untuk jadi optimis dari hari ke hari itu satu kejayaan. Cubaan seseorang untuk jadi lebih baik dari hari ke hari itu kejayaan. Usaha seseorang untuk memulihkan perhubungan sesama manusia dengan meningkatkan peratusan senyumnya itu kejayaan. Cubaan melakukan pertambahan kebaikan dari hari ke hari itu kejayaan. Bertempur hebat dengan naluri, hati dan perasaan itu kejayaan. Melawan segala kata hati yang negatif dan mencari segala yang positif itu kejayaan. Pendek kata, apa-apa sahaja yang mendekatkan kita pada satu kebaikan walaupun setitik, itu adalah kejayaan!

Berbanggalah walau sedetik. Berbanggalah kerana anda sebenarnya seorang yang berjaya!

Bersyukurlah walau sesaat kerana setiap hari, Allah telah memberikan anda sebuah kejayaan!

 Aku baru tersedar tentang hakikat dan makna “Allah itu Maha Adil”. Tentang hakikat makna “sebuah kejayaan”. Selama ini, aku hanya tahu sebut dan sebut, tetapi rupa-rupanya maknanya belum pernah aku khatam sedalam-dalamnya.

Hari ini, masa ini, saat ini, bila aku bertemu dengan satu kegagalan, bilamana keyakinan goyah dan kepercayaan pudar, baru aku tahu betapa kegagalan itu menyakitkan. Sakitnya makin membarah kerana gagal aku bukan sekali, tetapi berkali-kali. Untuk sentiasa berdiri kembali ternyata bukan mudah. Untuk menggagau sejentik juga terasa amat payah. Putus asa. Kecewa.

Puas cuci hati. Puas cari punca. Puas aku pinta sedikit keteguhan dan keyakinan. Puas aku rayu dikembalikan hati yang sentiasa yakin dengan ketentuan Dia. Bukan mudah untuk menjadi hamba yang selalu setia. Bukan mudah jadi hamba yang taat sentiasa. Bukan mudah untuk jadi hamba yang sering bersangka baik dengan Tuanya. Tuhannya! Sangat bukan mudah.

“kenapa orang yang berusaha boleh gagal?”

“kenapa orang yang tak pernah cuci hati boleh berjaya?”

“kenapa orang yang ini, itu, itu, ini boleh berjaya?”

“kenapa aku tak pernah dapat aku nak? tetapi mereka mudah dapat apa yang mereka nak?”

“kenapa aku masih belum mampu untuk berbangga dengan diri, sedangkan mereka telah berjaya berkali-kali mencipta satu nama pada tangga kejayaan?”

“betulkah jalan aku Ya Allah? banyakkah dosa aku yang tak terampun ya Allah?”

Aku ralit memandang manusia. Sayup-sayup kejadian Allah itu aku belek dalam-dalam. “Allah itu Maha Adil”. Pujuk hati sendiri. Hakikatnya, ia telah membengkak lebih daripada separuh. Aku kira, warnanya mungkin telah memerah kehitaman.

Aku katakan pada hati, “kejayaan itu subjektif. Allah itu Maha Adil. jika mahu dibandingkan kejayaanmu dengan kejayaan seluruh manusia di dunia, jika mahu diukur “erti” kejayaan manusia itu pada nilai dan material yang sama, mungkin ramai manusia yang akan kecewa.”

Maka, aku beri’tiqad bahawa kejayaan itu subjektif. Positiflah dengan apa saja yang mendatang. Optimislah dengan setiap kegagalan.

Hari-hari yang aku lalui, walaupun membuahkan setitik kebaikan, itu tetap sebuah kejayaan untuk dibangga-banggakan. Tetap juga dinamakan suatu kejayaan walaupun aku akhirnya menemukan kegagalan. Aku gagal kalau aku gagal mencuba. Tapi, aku berjaya hanya dengan syarat aku gagal setelah mencuba.

Titik tolak suatu kejayaan adalah kerana aku mencuba. Kejayaan aku pada nilai dan titik usaha aku walaupun ianya tidak seberapa. Kalau boleh, nak saja aku kunyah lalu telan kalimah-kalimah ini biar saja ia jadi darah daging aku sendiri. Darah daging yang sentiasa punya spirit tinggi. Untuk aku berdiri macam Suki [One in Million-eh, betul ke? entah!] . Tak bengang macam Akim AF [padanlah bengang saja, sebab bercinta dengan cara yang Allah tak redha!] Darah daging yang sentiasa berani. Darah daging yang nampak lembik, bukan liat, tetapi gagah! Dalamnya gagah perkasa, walaupun luarannya tampak lembik tak bertulang. Aku mahu bermimpi yang indah-indah macam Mestica, tetapi cuba untuk merealisasikannya ala-ala Wali Band buat pengumuman untuk cari jodoh! Bukan Down, Down dan Down macam Jay Sean! Ok, stop! Tak penting lagi.

*selingan : Suki, Akim, Mestica, Jay Sean, Wali Band semuanya artis. Berdiri, Bengang, Mimpi Yang Indah, Down, Cari Jodoh semuanya tajuk lagu.

Fikir-fikir dan renung-renung, ternyata bahawa sekolah kehidupan itu ternyata suatu seni. Seni yang mengajar aku satu persatu aspek kehidupan. Seni yang mengajar aku untuk bangkit berdiri, walaupun gagal. Seni yang mengajar aku untuk mencuba walaupun telah kalah. Seni yang mengajar aku untuk membuang segala pesimis, dan berlatih untuk sentiasa optimis. Seni yang mengajar aku untuk berfikir di luar kotak. Seni yang mengajar aku memandang manusia bukan pada satu figura, tetapi banyak! Seni yang mengajar aku untuk melihat manusia pada fitrahnya, bukan pada fizikalnya. Seni yang mengajar aku tentang ‘ibroh kejahilan masa lalu, proses dan langkah masa kini serta matlamat pada masa hadapan. Seni yang berterusan dan berubah dari hari ke hari. Seni yang ada banyak warna dan berbeza coraknya lalu membentuk satu lukisan lengkap yang berlainan dari hari ke hari.

Keyakinanku mungkin goyah. Kepercayaanku mungkin pudar. Rapuh aku pada selang masa dan ketika. Sakit aku pada sela-sela masa dan usia. Aku tahu Engkau tahu. Aku tahu Engkau Maha Tahu. Ketahuilah, aku sedang mencuba. Aku sedang mencuba dan mencuba. Ajarkanlah aku tentang makna hidup untuk aku kibarkan sayap pada generasi masa depan. Untuk aku katakan pada mereka, “Allah itu Maha Adil” lalu tersenyum ceria!

Status I : bercinta dengan diri sendiri.

Status II : aku nak jadi pakar bahasa. aku nak jadi doktor falsafah. aku nak jadi ahli psikologi, boleh? paling penting, aku nak jadi aku yang sebenar. aku yang memang aku. boleh? oh no, konfem-konfem laa boleh! peace!

Status III: follow your plan. follow your heart. ubat walaupun pahit, boleh jadi penyembuh dengan izin Allah. kopi walaupun “pahit”, kadang-kadang nikmat ape? cubalah radix sekali. dah jatuh cinta nanti, ha baru tau! orang yang selalu kita benci dan tak suka sangat-sangat, kadang-kadang boleh TERjatuh cinta ape? haaa..jadi, takpelah kalau gagal berkali-kali! nikmat ape belajar banyak kali? smile!

plastik dan sarkastik

December 9, 2009 at 10:37 am | In Soal Hati | Leave a Comment

Belajar memaknakan hidup. Belajar mengenal manusia. Belajar mentafsir hikmah hidup. Belajar mengenal Pencipta. Belajar mengenal diri. Hidup ini memang kena belajar. Sama ada aku nak atau tidak, aku tetap akan dan sedang belajar di sekolah kehidupan.

Sejak dua menjak nie, sekejap-sekejap aku macam ahli falsafah. Mencari satu frasa yang paling baik untuk menerangkan tentang status hidup aku. Mencari satu baris kata yang boleh aku kaitkan dengan prinsip hidup aku. Cara aku. Gaya aku. Personaliti aku. Kadang-kadang aku macam perancang ekonomi masa depan. Mengkaji butir-butir angka yang telah aku laburkan untuk kepentingan masa depan. Kadang-kadang macam budak-budak tadika yang riang ria tak tahu apa-apa. Tahu, tapi buat-buat tak tahu. Mahu dan terus buat apa saja tanpa ada rasa malu. Kadang-kadang ada rasa macam doktor yang merawat hati sendiri. Menggunakan apa saja cara untuk kembalikan satu keteguhan dan keyakinan yang kadang-kadang goyah sama ada tahu atau tak tahu punca. Ada kala macam pelukis yang sedang berimaginasi, melukis masa depan. Ada warna hitam suram. Ada warna merah terang. Ada warna kuning bercahaya. Sama taraf juga dengan badut sarkas, tersenyum riang. Tapi, tak tahu pada hati, mungkin ada luka yang tersimpan? Sikit-sikit ada juga macam sasterawan yang sedang tenggelam dalam dunia bahasa sendiri. Macam sekarang! Menulis apa saja hati kata. Menurut apa saja bicara akal. Menulis tanpa henti, hinggalah ke titik noktah; walau hakikatnya aku masih terus berfikir dan berfikir.

Kerap berfikir. Fikir tentang masa lalu. Masa sekarang. Masa depan. Tapi, tetap takkan ada satu noktah untuk menandakan titik hujung atau jawapan kepada setiap persoalan. Duduk sendiri pun aku berfikir, duduk dalam ramai pun aku tetap akan berfikir. Proses pembelajaran itu berterusan. Sampai bila-bila.

Kadang-kadang macam satu mimpi. Kadang-kadang macam ilusi. Mimpi yang “hidup”, sentuhannya dapat rasa di hati. “Ilusi” yang bernyawa, sakitnya terasa pada anggota.

Aku sedang berada pada satah perjudian, mempertaruhkan masa dan nyawa. Janganlah sampai kalah lalu putus asa. Janganlah sampai mabuk lalu tak ingat dunia.

status I: mencari diri. akukah plastik? sarkastik pada diri?

status II: masih lagi takut-takut untuk mencoret azam 2010. beranikah aku untuk gagal lagi? masih gagalkah aku untuk jadi berani?

« Previous PageNext Page »

Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.